Malaysia Dateline

Peruntukan sukan di tambah apabila ekonomi pulih, kata Wan Azizah

Persatuan sukan kebangsaan perlu menerima hakikat bahawa kekangan kewangan negara pada masa ini memaksa kerajaan membatal atau mengkaji semula peruntukan untuk program pembangunan sukan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata, memandangkan keadaan semasa kewangan negara, kerajaan akan menggalakkan lebih banyak penglibatan pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menyokong usaha pembangunan sukan negara.

Menurutnya, pihak korporat atau swasta boleh menyumbang ke arah pembangunan sukan dengan memberi tajaan atau menganjur sukan sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Setelah keadaan ekonomi negara dipulihkan, kerajaan akan meningkatkan peruntukan untuk semua kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan,” katanya pada jamuan malam tahunan dan Anugerah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-25, malam tadi.

Turut hadir, Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya, Steven Sim Chee Keong.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah meminta semua rakyat Malaysia mendoakan agar skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF 2018 apabila menentang Vietnam pada aksi final kedua di Stadium MyDinh, Hanoi, Sabtu ini.

Pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam, kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah menyampaikan anugerah Olimpian Lelaki dan Wanita Terbaik yang masing-masing dimenangi oleh jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan atlet gimnas, Amy Kwan Dict Wen.

Bagaimanapun, Mohd Azizulhasni tidak dapat hadir kerana menyertai Piala Dunia Berbasikal Trek di London.