Peruntukan veteran ATM tahun ini diluluskan, kata Mohamad

Peruntukan veteran ATM tahun ini diluluskan, kata Mohamad

 

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengumumkan, semua peruntukan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun ini telah diluluskan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, peruntukan yang diluluskan itu termasuklah kos perubatan, persekolahan anak-anak tentera dan semua yang dipohon sebelum ini.

“Sekiranya selepas ini kita fikir terdapat lagi keperluan, maka kita akan membuat tambahan tuntutan belanjawan untuk veteran ATM.

“Jika kewangan kerajaan lebih stabil pada masa akan datang, saya berharap pihak Kementerian Kewangan dapat menambah dana dari semasa ke semasa memandangkan peralatan kita masih lagi belum mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, pada Khamis.

Memetik laporan Astro Awani bertarikh 10 November tahun lalu, dalam Belanjawan 2019, RM98 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan untuk disalurkan kepada veteran ATM.