Malaysia Dateline

Perut lelaki mengembang besar, sekali doktor jumpa 187 keping syiling yang ditelan tanpa sedar

Sepasukan doktor di India dilaporkan berjaya mengeluarkan 187 keping duit syiling daripada perut seorang lelaki.

Duit syiling itu mempunyai berat keseluruhan 1.5 kilogram ditemukan dalam perut pesakit berusia 58 tahun yang turut mengalami masalah mental.

Salah seorang doktor di Hospital HSK di Bengaluru, Dr Eshwar Kalaburgi berkata, lelaki itu muntah-muntah dan mengadu sakit perut sebelum pihaknya melakukan endoskopi dan mengeluarkan syiling itu.

Menurut Eshwar, lelaki itu yang menghidap skizofrenia dikesan menelan 187 keping syiling dalam tempoh dua hingga tiga bulan lalu.

Dalam kes ini, pesakit tidak menyedari apa yang mereka lakukan.

“Ini adalah kes yang jarang berlaku dan kes pertama saya sepanjang 40 tahun berkhidmat,” katanya kepada agensi berita ANI.

Beliau berkata, pembedahan bagi mengeluarkan semua syiling dari perut lelaki itu mengambil masa lebih dua jam.

“Perut mengembang dengan sangat besar dan banyak syiling tersangkut di bahagian berbeza di dalam perut.

“Pesakit itu bernasib baik semua syiling itu berjaya dikeluarkan dan dia dilaporkan stabil selepas pembedahan,” katanya.

Baca juga: ‘Jangan kata sekali dalam 100 tahun, esok lusa pun boleh berlaku banjir luar biasa’

Baca juga: Acah Gordon Ramsay, netizen berang lihat Sheila Rusly tengking peserta masakan