Perutusan AMANAH sempena Sambutan Tahun Baru Cina

Perutusan AMANAH sempena Sambutan Tahun Baru Cina

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia dan dunia. Semoga sambutan kali ini berlangsung dengan penuh kesyukuran selepas setahun bekerja keras mencari rezeki di samping kegembiraan kerana dapat berhimpun bersama ahli keluarga tersayang.

Kali ini Tahun Baru Cina disambut bersama pentadbiran Kerajaan yang baharu. Selepas berusaha gigih memastikan rejim pemerintahan BN ditumbangkan, tibalah saatnya untuk Pakatan Harapan membina semula negara ini. Sudah pasti, komitmen yang besar ini tidak mudah. Cabarannya kompleks dan banyak kerosakan perlu dipulihkan yang mana menuntut masa di luar jangkaan awal.

Namun begitu, masalah itu bukan alasan. Hakikatnya, pimpinan PH di Putrajaya telah mengerahkan sepenuh tenaga dan minda untuk memastikan negara ini kembali pulih manakala keadilan sosial yang tulen dapat ditegakkan. Semua usaha ini tidak lain adalah demi mengembalikan kesejahteraan dan kebajikan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

Justeru, dari kalangan rakyat, marilah kita kembali menyuburkan semangat perpaduan dan persefahaman yang mana berupaya menjadi benteng paling kukuh untuk menghalang propaganda perkauman dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jadikanlah Tahun Baru Cina kali ini sebagai pemula terbaik ke arah itu dengan cara kita saling ziarah menziarahi untuk memupuk muafakat dengan berbual dan berkongsi pengetahuan pelbagai perkara yang boleh meningkatkan kefahaman silang budaya dan agama dalam negara ini.

Semoga sambutan kali ini menyumbang kepada usaha supaya rakyat Malaysia kembali menikmati kemakmuran negara di samping hidup bermasyarakat dengan suasana yang cukup muhibah.

 

YB MOHD ANUAR BIN MOHD TAHIR

Setiausaha Agung AMANAH