Insentif RM450 duit raya kejayaan awal Anak, dakwa Mazlan

Insentif RM450 duit raya kejayaan awal Anak, dakwa Mazlan

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyifatkan bulan Ramadhan dan Syawal amat bermakna sekali tahun ini apabila Kerajaan Pakatan Harapan membuka lembaran baru demi selamatkan negara ini dari kerosakan yang dahsyat.

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, pengumuman Kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM50 juta kepada seluruh 112, 635 orang peneroka Felda tanpa terkecuali menerusi insentif hariraya RM450 setiap seorang, adalah kejayaan awal Anak, yang turut diperjuangkan Ngo dan pihak lain.

Katanya, penubuhan Majlis Permuafakatan Ngo Ngo Felda yang terdiri dari Ngo Anak, SGK2F, MBFM, KAF, Kesatuan Sekerja Felda dan Persatuan Pegawai Kanan Felda, adalah detik bersejarah di mana usaha menyatukan Ngo dalam sebuah gabungan telah menjadi realiti yang akan memudahkan agenda perubahan dan pembaharuan Felda.

“Anak menyedari harapan warga Felda kepada Kerajaan Pakatan Harapan. Tiada lagi retorik, sebaliknya ruang dan peluang penambahbaikan terbentang luas. Begitu banyak aduan dan rintihan rakyat yang mesti didengar dan diselesaikan,”katanya.

Justeru, katanya, sebagai jambatan kepada Kerajaan dan Felda, Anak telah menubuhkan Biro Aduan Anak yang diketuai Naib Presiden Anak Saifful Zakri Rifin.

“Mekanisme aduan sedang disediakan, bagi mempastikan setiap aduan dapat ditangani dan diselesaikan dalam tempoh yang munasabah,” kata beliau dalam Perutusan Hari Raya Anak hari ini.

Program Tanam Semula di Felda Ulu Tebrau, Johor, jelasnya akan menjadi perintis kepada 10 janji utama Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari.

Tegasnya, salah satu darinya berkaitan Felda iaitu ‘memansuhkan hutang-hutang yang tidak wajar dan dipaksakan keatas peneroka Felda’.

Anak terlibat bersama Jawatankuasa Tanam Semula yang ditubuhkan Generasi Baharu Felda Ulu Tebrau di mana proses tanam semula melibatkan 253 peneroka peringkat 1 dan 2.

Katanya, suatu kertas kerja sedang disiapkan, di mana matlamat utamanya mempastikan kos tanam semula dapat dikurangkan seberapa banyak yang mungkin.

“Anak gembira apabila Felda memberikan kerjasama yang baik,”ujarnya.

Bukan sahaja pemansuhan 50 peratus hutang peneroka seperti janji manifesto dapat ditunaikan, lebih besar dari itu, katanya isu hutang tanam Semula hingga ke tahap RM100,000 yang membelit peneroka akan ada noktah penyelesaiannya.

Anak komited dengan usaha mereformasikan Felda seperti yang terkandung dalam kertas Cadangan penambahbaikan Felda, setebal 46 mukasurat yang telah diserah kepada Lembaga Penasihat Kerajaan.

 

8.5
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 9.0