Perutusan khas serentak PH, BN malam ini

Perutusan khas serentak PH, BN malam ini

 

Kemuncak kempen PRU-14 menyaksikan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan BN akan mengetengahkan perutusan khas masing-masing sebelum 14.9 juta pemilih berdaftar membuang undi esok pagi.

Tepat jam 10 malam ini, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan amanatnya yang disiar secara langsung menerusi Facebook Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Lintas langsung dari Langkawi itu dijangka menyaksikan tontonan tertinggi memandangkan sambutan hangat sehingga melebihi 60,000 tontonan dalam siri Jelajah PH sebelum ini.

Serentak itu, majlis solat hajat, bacaan Yasin dan Tahlil di seluruh negara turut dianjurkan PH di kawasan masing-masing.

Seteru politik nombor satu Tun Mahathir iaitu Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak pula bakal menawan lima stesen TV juga mulai 10 malam ini.

Perutusan khas beliau akan ke udara menerusi saluran Bernama TV, TV3, TV2, Astro Awani dan HyppTV oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dalam suratnya kepada pimpinan dan ahli Bersatu di seluruh negara menyarankan semua pihak untuk mengadakan majlis Solat Hajat, bacaan Yaasin dan Tahlil di antara waktu solat Maghrib dan Isyak.

Sehubungan itu, di Parlimen Titiwangsa contohnya, majlis tersebut akan berlangsung di Pejabat AMANAH Titiwangsa di Kampung Pandan.

Manakala di kerusi Dun N26 Sungai Ramal, Kenduri Rakyat dan Solat Hajat Perdana Selamatkan Malaysia akan diadakan di Pusat Konvensyen Bangi, Teras Jernang mulai 8 malam.

Orang ramai diminta membawa sejadah masing-masing dan dinasihatkan sebaik-baiknya sudah sedia berwuduk.

Untuk rekod, Pakatan Harapan dengan logo PKR bertanding di 191 kerusi Parlimen manakala Pas meletakkan calon di 158 kerusi.

8.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 8.5
CATEGORIES
TAGS