Perutusan Merdeka: Malaysia kekal aman dan tenteram tanpa sengketa kaum

Perutusan Merdeka: Malaysia kekal aman dan tenteram tanpa sengketa kaum

Mohamad Sabu

Presiden AMANAH Mohamad Sabu dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan Kali ke-62 mengharapkan agar negara Malaysia sentiasa berada dalam keadaan aman dan tenteram.

“Selamat Menyambut Hari Kebangsaan semoga sambutan tahun ini disambut meriah dalam keadaan aman dan tenteram diantaranya perkhidmatan pada pasukan keselamatan dan keamanan negara.

“Setiap hari lebih 13,000 anggota tentera menjalankan tugas kepada operasi dan lainnya di pejabat dalam peranan yang dimainkan mereka.

Selamat menyambut hari kebangsaan dengan penuh meriah dan bersyukur kepada Allah swt atas anugerahNYa kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujar Mohamad yang juga Menteri Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir berpendapat keamanan dan kemakmuaran yang dikecapi rakyat negara ini sejak 62 tahun adalah atas perjuangan dan pengorbanan pejuang kebangsaan yang terdahulu.

“Malaysia telah melepaskan diri dari penjajahan dengan penentangan beratus tahun dikalangan para pejuang di masa lalu sejak dari zaman Dol Said di Tabuh Naning hingga kepada Datuk Bahaman di Temerloh dan Datuk Seri Maharaja Lela.

“Semua pengorbanan perjuangan nasional ini akhirnya membolehkan negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Mohamad Anuar Tahir

“Kecintaan kita kepada negara merdeka ini terlalu besar marilah kita jaga negara kita. Kita perlu tatang lebih daripada menatang minyak yang penuh kerana negara yang kita pulihkan demokrasinya sekarang harus dipertahankan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh mengingatkan agar rakyat mengekalkan kemerdekaan tanpa adanya berlaku pertumpahan darah sebagaimana negara lain dunia.

“Kita jangan membiarkan negara ini terjadi sebagaimana setengah negara yang merdeka tetapi berlaku pertumpahan darah dan perpecahan di dalam negara tersebut sudah pasti kita tidak lagi mempunyai negara yang berdaulat.

“Sudah 62 tahun kita bersama membentuk negara jangan meimbulkan perpecahan dan pertumpahan darah kerana isu perkauman digunakan untuk menghancurkan kestabilan yang ada hari ini.

“Cukuplah peristiwa 13 Mei 1969 itu, demi kecintaan kita kepada Islam yang menjadi tunggak kepada negara ini.

“Pertahankanlah kemerdekaan dalam apa ruang yang ada kita mahu laungan merdeka itu menjiwai seluruh diri kita,” ujarnya.