Malaysia Dateline

Perutusan Muhyiddin semalam disifatkan terburuk sejak jadi PM, kata Kit Siang

Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang menyifatkan perutusan khas Muhyiddin Yassin semalam adalah perutusan terburuk yang pernah beliau buat sejak menjadi Perdana Menteri ‘pintu belakang’ 1 Mac lalu.

Kit Siang berkata, walaupun berjaya menarik jumlah penonton tertinggi dalam Perutusan Khas melalui Facebooknya itu, terdapat reaksi negatif, cemas, dan marah membanjiri media sosial selepas beliau menggelarkan diri beliau sebagai “Abah” dan secara berseloroh mengugut untuk “menggunakan rotan” jika rakyat tidak mematuhi SOP kerajaan.

“Ini kerana rakyat dapat melihat dengan jelas, layanan berbeza yang diamalkan kerajaan beliau dalam melaksanakan SOP ini sedangkan beliau baru sahaja mendakwa yang kerajaan tidak memberikan layanan berbeza kepada mana-mana orang.

“Kemarahan rakyat ini dapat difahami, memandangkan seorang kanak-kanak yang berusia setahun baru sahaja dilaporkan menjadi korban terkini wabak ini, mangsa termuda Covid-19 dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang bersetuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, yang rakyat Malaysia tidak boleh mensia-siakan usaha para petugas barisan hadapan dan semua harus bersatu padu untuk melawan wabak ini selain tidak terus “menangisi nasi yang telah menjadi bubur”.

“Tetapi apa yang dilakukan terhadap “bubur” ini akan menjadi kayu ukur terhadap kesediaan kerajaan untuk belajar daripada kesilapannya dan mula menguruskan defisit kepercayaan yang dihadapi mereka dalam negara serta menjadi tauladan yang baik untuk menyatu padukan rakyat dalam melawan wabak Covid-19.

“Syukurlah kita tidak mempunyai Donald Trump sebagai Perdana Menteri kita,” katanya.

Beliau telah meninggalkan Pusat Rawatan Ketenteraan Walter Reed semalam, memberitahu para pengikut beliau yang virus – yang telah menyekat pernafasan beliau dan memerlukan beliau dihospitalkan selama 72 jam -ini tidak perlu ditakuti sebelum mencabut topeng muka beliau di balkoni White House.

Perkara ini telah membuatkan seorang wartawan mengatakan: “Bukan sahaja beliau tidak takut dengan Covid-19, tetapi beliau tidak takut untuk menyebarkannya kepada orang lain di sekitar beliau.

Katanya, dalam Malaysia mencatat rekod positit COVID-19 691 kes semalam, rakyat negara ini berhak menuntut prestasi yang lebih baik daripada para menteri walaupun Kabinet kini telah dilumpuhkan oleh wabak ini.

Justeru katanya Muhyiddin harus menggerakkan menteri beliau untuk segera mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan untuk melawan virus Covid-19.

“Pemimpin kerajaan harus berhenti berhenti mengamalkan sikap menasihati rakyat mematuhi SOP Covid-19 sambil melanggarinya.

“Sebagai langkah pertama, Muhyiddin perlu memastikan Ketua Menteri dan Menteri-menteri Besar daripada negeri-negeri Pakatan Harapan, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan tidak dikecualikan lagi dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 yang akan datang,” katanya.