Malaysia Dateline

Perutusan Tahun Baru 2019 Menteri Ekonomi

Tahun 2018  cukup bersejarah yang mana hasrat rakyat untuk bebas daripada rasuah diterjemahkan menerusi kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14, awal Mei yang lalu. Ia adalah kemuncak perjuangan sejak berdekad lalu bagi menentang kezaliman yang telah meragut masa depan anak cucu kita.

Ia juga adalah langkah berani rakyat Malaysia menentukan masa depan negara di tangan sendiri, dan bukan lagi pada elit politik, di mana rakyat telah mara membina semula negara yang terbungkam potensi sebenarnya.

Enam bulan pertama Malaysia Baharu di bawah kepemimpinan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, negara telah melalui proses perubahan hala tuju dan keutamaan baharu yang boleh memacu ekonomi Malaysia ke hadapan.

Dalam masa 100 hari Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan telah melaksanakan hampir semua reformasi institusi yang dijanjikan. Keutamaan sekarang adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi demi mencapai kemakmuran untuk semua. Dengan muafakat yang padu dan kegigihan bekerja, Insha Allah hasrat ini akan tercapai.

Perjuangan ini bakal berdepan cabaran yang pastinya menuntut kerja keras, istiqamah dan pengorbanan bagi mengembalikan semula Malaysia sebagai Harimau Asia, sebuah keajaiban ekonomi serantau yang berpegang kepada prinsip demokrasi, keadilan, bersatu dan amanah yang menjadi warisan generasi yang akan datang.

Memetik kata-kata Thomas Edison, “The three great essentials to achieve anything worthwhile are, first, hard work; second, stick-to-itiveness; third, common sense.” (Tiga perkara besar yang penting bagi mencapai apa saja iaitu pertama, kerja keras; kedua teguh pendirian; ketiga, logik akal)

Justeru, dalam pada kita menyambut kedatangan 2019, marilah kita bertekad untuk kerja keras, istiqamah dan berkorban demi membina asas kejayaan bersama-sama.

DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi