Malaysia Dateline

Perutusan tahun baru 2020 Presiden AMANAH

1. Sempena tahun 2020 yang akan bermula esok, saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar terus mempertahankan keharmonian negara kita yang tercinta ini.

2. Kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama sudah lama hidup dalam suasana hormat menghomati antara satu sama lain walaupun terdapat perbezaan warna kulit dan kepercayaan.

3. Keharmonian dan kerukunan yang telah sedia terbina sejak negara mula merdeka harus dipertahankan dan jangan biarkan ianya dirosakkan oleh pihak-pihak tertentu yang berfahaman sempit dengan menggunakan isu perkauman dan agama demi kepentingan politik mereka.

4. Seharusnya persaingan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ialah dalam membuat kebaikan dan saling mengangkat kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih baik.

5. Ini selari dengan ajaran Islam dan di dalam Al Quran Allah S.W.T berfirman:

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” – (Surah Al-Hadid, ayat 21).

6. Hampir dua tahun di dalam kerajaan, banyak yang sudah dipelajari oleh ahli-ahli AMANAH di semua peringkat. Nasihat saya kepada ahli-ahli AMANAH agar terus menjadikan ‘integriti’ sebagai panduan dalam setiap urusan.

7. Jadikanlah 2020 ini sebagai tahun untuk kita terus bekerja keras bagi memastikan kehidupan semua rakyat Malaysia akan menjadi lebih baik.

8. Kita mengalu-alukan segala kritikan membina yang diberikan agar kerajaan dapat memperbaiki segala kelemahan.

9. Akhir kata saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua.

“KESTABILAN MEMACU KEMAKMURAN BERSAMA”

Mohamad bin Sabu

Presiden Parti Amanah Negara

31 Disember 2019