Perwakilan Pas ‘serang’ DAP di muktamar

Perwakilan Pas ‘serang’ DAP di muktamar

Muktamar Tahunan Pas Kali ke-63 tahun ini menyaksikan perwakilan menganggap Umno bukan lagi musuh paling nyata bagi parti dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Sasaran sebaliknya ditujukan kepada DAP yang dituduh menjadi penghalang utama mereka untuk melaksanakan apa yang dianggap sebagai agenda Islam.

Perwakilan Pas Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berkata, DAP menjadi musuh terbesar Pas lantaran dasar parti itu kononnya anti-Islam dan menolak Rang Undang-undang (RUU) 355.

Ketika membahaskan ucapan presiden hari ini, DAP, jelasnya, memfitnah ulamak apabila ada pemimpin parti yang memerintah Pulau Pinang itu memanggail penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik sebagai syaitan.

Yusni turut menganggap politik DAP sebagai politik rimba, binatang dan berdasarkan dendam kerana sanggup memecat ahli majlis dalam kalangan ahli Pas kerana tidak sebulu dengan dasar mereka.

“Mereka (DAP) juga mengganggu soal agama Islam termasuk penfatwaan di Pulau Pinang sehingga menyebabkan masih ada fatwa yang tergantung.

“Malah ada ahli Parlimen DAP dari Kuching menentang, mempertikai ustaz atau ustazah yang dihantar dari Semenanjung ke Sarawak,” bidas Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang itu lagi.

Nada sama menyerang DAP juga disuarakan perwakilan Pas Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob dengan alasan serupa DAP sebagai anti-Islam kerana menentang RUU 355.

Pendirian perwakilan Pas yang menganggap Umno bukan lagi musuh terbesar pada muktamar yang berlangsung di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, Alor Setar itu tetapi menghentam DAP adalah selari dengan penegasan bekas Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau ketika merasmikan Muktamar Tahunan ke-34 Pemuda Pas Perak, 2 April lalu menyifatkan partinya tidak pernah menganggap Umno sebagai musuh sesama Islam walaupun kedua-dua parti berbeza ideologi politik.

“Berbanding dengan Amanah (Parti Amanah Negara) yang sering menganggap Umno adalah musuh sampai akhirat sehinggakan apabila PAS mahu bekerjasama dengan Umno dalam perkara berkaitan agama Islam, Amanah akan marah dan ditolak oleh mereka,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.