Malaysia Dateline

Perwakilan pemuda tidak puas hati pemilihan lokasi konvensyen

Pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional hari ini bermula panas dengan ketidakpuasan hati beberapa ahli perwakilan pemuda berhubung lokasi Konvensyen sayap berkenaan diadakan.

Norhisham Kalyubi

Suara disampaikan oleh beberapa perwakilan pemuda dari Kelantan, Saiful Sharimi; perwakilan Pontian, Norhisham Kalyubi; Perwakilan Tanjung, Ghazali Ismail; dan perwakilan Melaka, Mohd Fadli Hassan.

Sambil menyifatkan lokasi diadakan sebagai tidak strategik, perwakilan Pontian juga mengkritik pengurusan perbendaharaan yang mengenakan RM200 bagi meneruskan perjalanan konvensyen.

“Umno buat Perhimpunan Agung di PWTC sedangkan mereka adalah pembangkang. Sepatutnya kita kerajaan, kita kena buat di Putrajaya, kita tunjuk kuasa kita,” katanya ketika pembentangan minit mesyuarat Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional di Dewan Komuniti Batu Muda, hari ini.

Perwakilan Pontian itu turut melempar kritikan pedas dengan mempersoalkan menu makanan sepanjang dua hari Konvensyen tersebut berlangsung.

“Semalam makan mi bodoh, hari ini makan mi halus.

“Malah lebih mengecewakan apabila turut diasingkan di mana kita hanya makan mi dan ada satu kawasan pula makan nasi minyak,” kata Norhisham.

Ghazali Ismail

Terus menarik perhatian ramai dengan tepukan gemuruh, perwakilan Melaka Ghazali IsmailĀ  yang turut mengkritik pada awalnya menenangkan ketidakpuasan hati beberapa perwakilan dengan teguran yang disifatkannya demi menampilkan imej AMANAH yang baik.

“Lepas ini minta tolong lah fikir perwakilan yang datang jauh dari Sabah dan Sarawak. Majlis mula 8 pagi, tapi kami masih tersangkut dalam jem.

“Kita bukan marah. Kita sayang-sayang AMANAH, kita sayang abang-abang kita. Kita harap pimpinan di atas pentas sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, menjawab semula pertikaian ahli perwakilan, Pengarah Perbendaharaan, Mohd Zuhan Mohd Zain kemudiannya mencabar seluruh ahli pemuda untuk memberi kerjasama dalam memenuhi kantung perbendaharaan Amanah Nasional untuk akan datang.

Beliau menzahirkan rasa terkilan dan menempelak beberapa perwakilan yang turut mempertikai menu makanan yang disediakan, selain tidak menghargai lokasi strategik yang disediakan.

“Saya kecewa ada perwakilan mempertikai tempat kami buat. Datanglah dengan kereta, bas, motor dan helikopter sekalipun, tempat ini sangat mudah untuk di akses sebenarnya.

“Sebenarnya makan mi bodoh pun tak sepatutnya pemuda kita bangkitkan perkara berkenaan itu.

“Saya cabar pemuda AMANAH seluruh negara supaya beri kerjasama hantar kontraktor, kita sokong produk Amanah Nasional. Saya yakin kita akan berjaya dan pada masa akan datang kita akan berkonvensyen sebelah PWTC,” katanya.

Mohd Zuhan Mohd Zain