Malaysia Dateline

Perwakilan Sarawak teruja hadir ke Konvensyen AMANAH

Perwakilan dari Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak melahirkan rasa teruja dan gembira apabika dapat menyertai Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di IDCC Shah Alam hari ini.

Sufri Yakup

Menurut Sufri Yakup, beliau bersama seramai 20 orang perwakilan dan pemerhati dari AMANAH Sarawak telah hadir di Shah Alam sejak dua hari lepas semata-mata mahu menyertai Konvensyen Nasional AMANAH kali ke-4 ini.

Katanya,beliau hadir sebagai mewakili Pemuda AMANAH Sarawak dan turut berpeluang membahaskan usul pada Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional semalam.

‘Ya saya akui sangat teruja kerana dapat bertemu dengan perwakilan dari negeri lain yang sebelum ini hanya berhubung melalui media sosial dan WhatsApp dalam kumpulan.

‘Konvensyen kali ini telah merapatkan sesama ahli dalam merencanakan pelbagai program dan aktiviti bersama sekali gus dapat ‘merakyatkan’ AMANAH’ itu sendiri di kalangan seluruh ahli-ahli parti AMANAH di negara ini,” katanya.

Sufri berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di IDCC Shah Alam di sini hari ini.

Hadir merasmikan Konvensyen Nasional AMANAH kali ke-4 ialah Presidennya Mohamad Sabu yang juga merupakan Menteri Pertahanan Malaysia.

Lokasi konvensyen ini juga merupakan tempat lahirnya AMANAH pada 16 September 2015.

Konvensyen Nasional AMANAH kali ini menyaksikan pemilihan kali pertama parti menggunakan sistem pemilihan e-undi.

Seramai 925 perwakilan serta beberapa kepemimpinan lain termasuk 14 Pengerusi negeri bakal memilih 27 AJK Pimpinan Nasional bagi sesi 2019-2022.

Mohamad Zen Peli

Sementara itu, bagi Mohamad Zen Peli, ini merupakan konvensyen pertama peringkat nasional yang beliau hadiri.

Katanya, sebelum ini hanya diberitahu rakan-rakan lain tentang perjalanan konvensyen namun hari ini beliau telah merasainya sendiri betapa ahli-ahli parti AMANAH dari seluruh negara sangat komited dengan kehadiran mereka di sini.

“Alhamdulilah…walaupun jauh datang dari Sarawak tetapi saya sanggup hadir pada konvensyen kali ini kerana saya ingin bertemu dengan kawan-kawan sesama ahli parti sekali gus dapat bertukar-tukar pandangan dan buah fikiran.

Iswandy Abdullah

“Ini kerana kami di Sarawak bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN12) tidak lama lagi. Justeru kami memerlukan idea dan pandangan dari kawan-kawan sesama ahli parti dalam merencana strategi kelak,” jelasnya.

Seorang lagi perwakilan dari Sarawak, Iswandy Abdullah berpendapat agar pada konvensyen yang akan datang dapat diadakan di bumi Sarawak.

“Saya berdoa agar suatu hari nanti, Konvensyen Nasional AMANAH akan dapat dilangsungkan di Sarawak sekali gus menjadikan parti ini menjuarai hati penyokong dan pengundi di negeri ini,” tambahnya.