Malaysia Dateline

Perwakilan Umno ‘dilembukan’ pucuk pimpinan parti, kata MPT Bersatu

Zahid Mat Arip

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Zahid Mat Arip berpandangan perwakilan Umno seperti ‘dilembukan’ oleh pucuk pimpinan Umno apabila  perwakilan mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan dan gagal membahaskan mengenai isu  kos sara hidup rakyat pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun Umno menganggap perhimpunan kali ini sebagai ‘ibu’ segala perhimpunan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang ia hanya ritorik.

Sebaliknya perhimpunan yang disertai 5,739 perwakilan itu seolah-olah  dilihat ‘berjaya’ merungkai beban kesengsaraan rakyat sedangkan ia dilihat hanya satu perhimpunan untuk mengumpulkan ahli dan berpesta semata-mata, katanya.

“Perwakilan Umno bolehlah dianggap sebagai perwakilan yang boleh ‘dilembukan’ pucuk pimpinan Umno.

“Saya tidak fikir Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak) libility kepada Umno yang masih mahu mengekalkan dua pemimpin Umno ini.

“Perwakilan yang hadir tidak peduli dengan kesensaraan akar umbi dan rakyat di luar dewan berhimpun.

“Mereka dapat baju, penginapan dan makan percuma itu sudah memadai untuk terus mengekalkan Najib dan Zahid kerana mereka tahu perwakilan Umno begitu setia kepada pemimpin parti,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Justeru katanya, antara sebab mengapa pentas perbahasan bertukar kepada tempat melepaskan ‘geram’ kepada parti-parti pembangkang apabila pemimpin parti-parti pembangkang dijadikan bahan sindiran di kalangan perwakilan dan pemimpin Umno ketika empat hari berlansungnya perhimpunan parti keramat orang Melayu yang sudah mencecah 71 tahun itu pada 5 hingga 8 Disember lalu.

Beliau berkata, sewajarnya perhimpunan itu perwakilan memperjuangan isu-isu yang membelenggu rakyat bukan meletakkan diri dikalangan perwakilan hanya sebagai pengikut setia parti semata-mata.

“Bagi perwakilan apa yang rakyat mahu tidak penting. Ini membuktikan Umno telah meletakkan diri mereka di atas rakyat dan merasakan rakyat boleh dikotak-katikkan dengan mengunakan media
pro kerajaan dengan menghidangkan berita kehebatan Umno-BN sedangkan rakyat di bawah tahu semua berita itu palsu dan tidak berpijak di bumi nyata.

“Ada pemimpin Umno kata Mahathir tidak tahu urus ekonomi  negara kerana nak hapuskan GST. Zaman Mahathir memerintah 22 tahun tiada GST dikenakan kepada rakyat tetapi dibina Menara Berkembar Petronas, KLIA, LRT, Litar Lumba Sepang, Putrajaya dan ekonomi stabil kerana perniagaan teransang disebabkan pelaburan masuk yang tinggi dan hasil cukai perdagangan yang dikutip, rakyat faham akan situasi di zaman Mahathir.

“Hari ini ahli Umno bagi harapan palsu kepada rakyat apabila menyokong Najib. Hakikatnya ahli Umno sendiri tidak mampu untuk turun ke bawah memberitahu rakyat mengenai kepincangan berlaku dalam pentadbiran negara.

“Mana ada orang suka dikenakan cukai yang melampau? Ini kerana cukai seperti GST itu menyelamatkan hutang 1MDB. Jika ada rakyat kata tidak terbeban dengan hutang 1MDB itu pembohongan semata-mata.

“Sedangkan hasil kutipan GST itu menanggung sebahagian besar dana kementerian kewangan untuk membayar bunga kepada hutang 1MDB.

“Syabas dan taniah kepada perwakilan Umno. PAU sangat berjaya, kesengsaraan rakyat serta merta berakhir.

“Harga barang turun, minyak stabil, masalah 1MDB selesai, SRC selesai, RM2.6 bilion selesai, hutang peneroka Felda pun selesai, Ringgit kembali kukuh, rakyat terus seronok semua dah selesai.

“Tepatlah seperti kata Najib ‘ibu’ segala perhimpunan selesai sudah, 3juta ahli Umno juga rasa seronok… jadi tidak kisahlah dengan kenaikan lain yang mungkin akan berlaku seperti kenaikan harga tambang bas sekolah tahun hadapan,” ujarnya sinikal.

Dalam PAU yang berlansung Umno meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Usul itu dibentangkan oleh Pemuda Umno dan diluluskan selepas dibahas pada hari kedua perhimpunan agung berlansung pada 8 Disember lalu.

Perhimpunan Umno kali ini juga pemimpin dalam Pakatan Harapan banyak dikecam oleh perwakilan dan pemimpin utama parti itu.

Ini termasuklah 22 karikatur mengenai pemimpin Pakatan Harapan yang dipaparkan di ruang legar pameran di Pusat Dagangan Dunia Putra di mana berlansungnya perhimpunan itu.