Malaysia Dateline

Perwakilan Umno Gua Musang tolak kerjasama dengan Bersatu

Umno bahagian Gua Musang memutuskan menolak sebarang kerjasama dengan PPBM berdasarkan suara akar umbi ahli-ahli peringkat Cawangan.

Mesyuarat perwakilan Umno juga mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum diadakan dalam suku pertama 2021, bagi menyerahkan mandat kepada rakyat.

Sekiranya PRU tidak dapat diadakan dalam masa terdekat, maka Ahli Parlimen Umno mestilah menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional, demikian menurut Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam kenyataannya.

Perwakilan juga mendesak Umno bertanding tidak kurang daripada jumlah kerusi Parlimen dan Negeri yang ditandingi dalam PRU ke-14 (dalam tahun 2018) yang lepas.

“Mencadangkan supaya UMNO Bahagian diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih dan menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-15.

“Mengukuhkan kerjasama antara Umno dan Pas melalui pengukuhan Muafakat Nasional. Kerjasama ini perlu dikaji semula sekiranya Pas tidak mengutamakan hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional,” katanya.

Penolakan kerjasama itu kerana Kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk tersebut telah menafikan hak-hak dan suara Umno dan BN dalam kerajaan hari ini.