Malaysia Dateline

Perwakilan Umno keliru antara wala’, taksub pemimpin, kata MPT Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendapat perwakilan Umno keliru antara wala’ dan taksub pemimpin sehingga sebulat suara menyetujui tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Tariq Ismail
Tariq Ismail Mustafa

Tariq Ismail Mustafa berkata, keputusan 5,739 perwakilan itu merupakan manifestasi wala’ mereka kepada pemimpin sehinggakan jawatan Timbalan Presiden pun tidak dipertandingkan bagi memelihara kesinambungan Umno.

“Sayangnya, keputusan ini bermaksud pucuk pimpinan Umno tidak akan mendapat pembaharuan. Muka-muka baru yang telah menunggu dengan penuh kesabaran dan taat setia, perlu terus bersabar.

“Bukan DNA ahli-ahli Umno untuk memberontak meminta pembaharuan. Takdirlah katakan. Sejarah akan tercipta dengan sendirinya apabila ianya ditakdirkan, tak perlu manusia bertungkus-lumus memperbaiki keadaan diri mereka sendiri. Ini yang saya simpulkan daripada tindak-tanduk Umno.

“Sejarah tercipta hanya apabila seseorang itu berani bertindak memperjuangkan pembaharuan. Sejarah tidak tercipta dengan membungkam seribu bahasa. Allah juga menyuruh umatnya supaya berusaha membaiki diri sendiri, dan bukan hanya terus berserah tanpa usaha.

“Dalam konteks politik dan negara, penjiwaan suruhan Allah ini sangat kritikal bagi masa depan Malaysia yang berdaulat

“Sekarang bukan waktunya orang-orang Melayu amnya, dan ahli-ahli Umno khususnya, keliru antara wala’ dan taksub. Sekarang bukan masanya orang-orang Melayu dan ahli-ahli Umno lepas tangan dan berserah pada takdir,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas pengumuman keputusan itu dibuat Pengerusi Tetap Uumno, Tan Sri Badruddin Amiruldin pada Jumaat,selepas perwakilan mengundi bersetuju dengan usul yang dicadangkan wakil pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dan disokong oleh wakil Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, serta dibahaskan wakil negeri serta jurucakap sayap.

Tariq Ismail yang juga Ketua Penaja Bersatu Bahagian Sri Gading menambah lagi, segala kemelut yang dihadapi negara hanya boleh diatasi dengan daya usaha rakyat dengan berkat Allah swt, dan dipimpin dikalangan mereka yang dapat meneraju negara dengan wawasan baru.
Bukan wawasan lapuk yang tiada intipatinya pun.

Bahkan katanya lagi, tindakan pemimpin Umno yang merendahkan pemimpin pakatan pembangkang di pentas perhimpunan agung parti itu sebagai perbuatan merendahkan seorang negarawan kerana hasad dengki hanya menunjukkan kelemahan dan arah tuju menuju ke hancuran.

“Ditambahkan lagi dengan keengganan membenarkan persaingan bagi pucuk pimpinan Umno, ianya lebih menyerlahkan betapa terdesaknya Umno.

“Kita perlu contohi negarawan-negarawan yang berbakti menyumbang pada negara. Bukan mereka yang mengaku diri negarawan hasil imaginasinya sendiri.

“Mengutuk mencaci dan merendah-rendahkan seorang negarawan pun tidak akan menaikkan taraf seseorang itu menjadi negarawan kerana seseorang hanya bergelar negarawan apabila telah berbakti kepada negara, apabila telah mendokong imej negara di mata dunia,” terangnya.

Oleh itu, ujarnya lagi, bagi menjamin kesinambungan dalam kepimpinan demokrasi Malaysia, Umno khususnya dan Malaysia amnya perlu memastikan persaingan sihat bagi tampuk kepimpinan negara agar yang terbaik dapat memimpin negara.

“Ini hanya akan berlaku apabila kita berani dicabar dan menyahut cabaran bagi tampuk kepimpinan.

“Menindas muka-muka baru yang berkebolehan memimpin, tidak akan mendatangkan pertumbuhan atau memberi kebolehan bersaing dalam keadaan dunia yang semakin mencabar dan penuh kemelutnya ini.

“Implikasi permainan merebut takhta di dalam Umno ini akan membawa kesan mendalam terhadap negara bagi jangka masa yang lama. Sebaiknya, pucuk pimpinan Umno fikirkan masak-masak, sanggupkah mereka menggadai masa depan negara begini?,” soalnya.