Malaysia Dateline

Perwakilan Umno Pagoh sebulat suara tolak kerjasama dengan Bersatu

Perwakilan Umno Bahagian Pagoh yang bermsyuarat semalam telah sebulat suara menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan Bersatu pimpinan Ahli Parlimen kawasan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka juga menyokong sebulat suara supaya kerusi Dun dan Parlimen di kawasan itu ditandingi semuanya oleh Umno kerana ia adalah kerusi tradisi Umno.

Perwakilan juga mendesak pimpinan Bahagian membawakan usul ini ke Majlis Tertinggi supaya dipertimbangkan suara akar umbi Umno ini, kata Ketua Penerangan Umno Pagoh, Kamarul Ariffin Bin Mohamed.

“Perwakilan merasakan tidak sewajarnya kita berkerjasama bersama parti yang pernah menjatuhkan dan memfitnah pemimpin serta parti kita,” kata Kamarul dalam kenyataan itu.

Usul sebegini dipercayai akan dibincangkan oleh semua bahagian Umno yang memulakan mesyuarat bahagian mereka mulai minggu ini.

Mesyuarat Perwakilan Sayap Wanita, Pemuda, Puteri dan Umno Bahagian Pagoh semalam telah dirasmikan oleh Ismail Bin Mohamed, Ketua Umno Bahagian Pagoh (gambar).

Umno Bahagian Pagoh adalah antara kawasan yang awal mengadakan mesyuarat agung bahagian mereka.

Menurut Kamarul, ahli-ahli Umno Pagoh merasai kepedihan dengan tindaklaku bekas-bekas pemimpin Umno ini dengan penghinaan dan sifat bongkak mereka apabila berjaya menjatuhkan Umnomelalui fitnah dan pembohongan terhadap janji kepada rakyat.

“Perwakilan berharap Majlis Tertinggi memahami situasi Umno Pagoh,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Katanya lagi, perwakilan menghomati dan bersetuju pendirian Ketua Umno Bahagian dimana kerjasama berkaitan urusan Pentadbiran Kerajaan dan urusan pembangunan sahaja diutamakan dalam kerajaan PN sehingga PRU 15

“Ketua Bahagian juga memaklumkan kepada para perwakilan untuk menghomati keputusan Badan Perhubongan Umno Johor bagi bertanding di 25 kerusi Parlimen kecuali di Pagoh.

“Walaubagaimana pun Perwakilan Umno Bahagian Pagoh yang hadir dan bersidang Mesyuarat Perwakilan pada hari ini mengambil *KETETAPAN* dengan *PENDIRIAN* untuk meletakkan wakil Umno bertanding dalam apa jua keadaan,” kata kenyataan itu.

Katanya, Umno Pagoh akan terus berkerja mendampingi rakyat dan membantu meringankan beban lebih-lebih lagi menempuh penularan Covid 19 yang masih gagal dikawal.