Perwakilan Umno tegur kepimpinan Zahid

Perwakilan Umno tegur kepimpinan Zahid

Seorang perwakilan Umno dari Pulau Pinang hari ini melahirkan rasa tidak puas hati dan menegur Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menurutnya seolah-olah takut untuk bersuara sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli parti itu.

Ketua Umno Bahagian Bukit Gelugor Datuk Omar Faudzar menyifatkan Presiden Umno itu tidak tegas dalam melaksanakan keputusan dan tindakan.

“Kadang-kadang saya tengok Presiden nak jawab pun takut. Presiden tengok mereka orang yang berdiri, semua hendak keputusan daripada Presiden. Kalau kita nak jadi seorang pemimpin, kena tegas,” katanya dalam sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 di PWTC semalam.

Beliau berkemungkinan merujuk kepada tindakan beberapa ahli parlimen Umno yang berjumpa pemimpin kerajaan untuk mendapatkan peruntukan kewangan.

Omar turut sempat melemparkan peringatan kepada Ahmad Zahid agar mengambil tindakan serius ke atas mana-mana ahli parti yang didapati tidak setia sebelum Timbalan Speaker Rizuan Abd Hamid cuba menghentikan kata-kata Omar yang penuh sinis.

“Okay Pulau Pinang, boleh… tapi mereka yang (dimaksudkan) itu ada dalam dewan ini,” celah Rizuan yang selepas itu kelihatan berinteraksi dengan Presiden kemudian membenarkan Omar untuk meneruskan perbahasan.

Omar berkata tiada gunanya jika ada ahli parti yang seperti talam dua muka dengan tidak mahu menuruti arahan Presiden Umno tetapi masih menghadiri perhimpunan tahunan itu.

“Ya betul, (mereka) ada dalam dewan. Saya nak bagi tahu speaker, kita duduk dalam dewan sebagai ahli, dalam satu persatuan, kita ada presiden, bila ada dalam persatuan, ada presiden, ikutlah cakap presiden. Kalau tak mahu duduk, tak mahu dengar cakap presiden, (maka) jangan duduk dalam persatuan,” katanya.

Kata-kata beliau mendapat tepukan gemuruh daripada seluruh perwakilan yang hadir.

— BERNAMA