Malaysia Dateline

Pesakit bukan Covid-19 bakal terjejas kes aktif lebihi kapasiti maksimum hospital

Pesakit bukan Covid-19 yang memerlukan rawatan kecemasan di hospital mungkin terjejas jika jumlah kes aktif virus itu melepasi kapasiti maksimum hospital.

Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, doktor terpaksa memilih individu yang perlu diutamakan jika situasi itu berlaku.

“Bayangkan, kalau sistem sudah penuh, maksudnya katil pesakit di hospital semuanya telah digunakan untuk pesakit-pesakit.

“Jadi keadaan tersebut akan memaksa berlakunya keadaan di mana doktor terpaksa memilih siapa yang lebih patut diutamakan.

“Jadi, mereka yang mungkin berisiko dan dari segi jangkaan memang sukar untuk diselamatkan, akan dikeluarkan daripada senarai yang menunggu kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU),” dipetik Astro Awani hari ini.

Pada 4 Januari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 22,089 kes yang menghampiri kapasiti maksimum KKM iaitu sebanyak 23,000 kes untuk ditempatkan di hospital dan pusat kuarantin dan rawatan (PKRC).

Mengulas lanjut, Dr Malina berkata, peningkatan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 yang melebihi kapasiti maksimum hospital juga bakal memberi kesan kepada kakitangan perubatan yang perlu beri keutamaan kepada pesakit kritikal lain.

“Itu satu keadaan. Satu keadaan lagi kita bayangkan seseorang individu itu mengalami kecemasan seperti serangan jantung atau kemalangan jalan raya, ataupun sebarang kecemasan yang memerlukan ICU.

“Sekiranya ICU kita penuh, mereka yang bukan Covid-19 ini yang memerlukan rawatan tidak dapat diberikan rawatan dalam sistem hospital,” jelasnya.

Untuk rekod, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia berjumlah 25,221 kes setakat jam 12 tengah hari tadi.