Malaysia Dateline

Pesakit Covid-19 di ICU hampiri 1,000 orang, 82 maut hari ini

Jumlah pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) semakin meningkat kepada 902 kes hari ini.

Rekod kes ICU harian tertinggi sejak Covid-19 melanda Malaysia tahun lalu merupakan peningkatan 24 peratus hanya dalam tempoh dua minggu.

Daripada jumlah itu, 447 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Angka kes di ICU hari ini antara 84,269 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 iaitu 13.54 peratus daripada 622,086 kes keseluruhan.

Sementara itu, terdapat 7,548 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sudah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah sebanyak 534,357 kes atau 85.9 peratus.

Dalam tempoh 24 jam juga, lagi 82 maut akibat wabak berasal dari Wuhan, China itu menjadikan jumlah kematian kini sebanyak 3,460 kes iaitu 0.56 peratus.