Malaysia Dateline

Pesakit Covid-19 kritikal: Apa kepuasan terbesar buat doktor, jururawat?

“Tolong tunjukkan gambar pesakit-pesakit ini kepada doktor ICU ya. Beritahu mereka; keep up the good work and don’t ever give up.”

Begitulah pesanan dari staf fisioterapi yang terselit bersama gambar yang dikirimkan melalui Whatsapp.

Gambar Encik Sad** dan Encik Muh**** masing-masing di atas kerusi roda dikelilingi ahli keluarga dan staf unit fisioterapi. Semua tersenyum lebar.

Mereka berdua adalah antara penghuni paling kritikal dan paling lama berada di ICU Covid-19 kami antara hujung Mei hingga akhir Jun.

Beberapa kali mereka ditelangkupkan. Dapat jangkitan demi jangkitan. Kami jangka mereka masuk ‘statistik’ disebabkan tipisnya harapan pada beberapa ketika. Namun, mereka berjaya menepis bayang kematian; belum sampai waktunya.

Ada seorang adik berumur 22 tahun masuk dengan Covid-19 pneumonia kategori 4. Tatkala dia tercungap-cungap dibawa ke ICU; dengan tubuhnya yang montel BMI menghampiri 40; ramai menyangka dia bakal tewas.

Namun, dia gigih menurut kata. Disuruh mengiring dia mengiring. Disuruh telangkup dia telangkup. Walaupun masih bersifat keanak-anakan; manja dan kuat makan, tapi dia patuh. Katanya dia bukan gemuk; cuma gemuk air saja.

Apabila dia mulai sihat; dia minta dibelikan air sejuk. Tak tahan rasa bahang dalam ICU yang ditutup aircond. Kami kata mana ada air sejuk dalam ICU. Dia kata ada air mesin gedegang kat luar ICU tu; tolong belikan.

Rupanya sewaktu dia ditolak atas troli tempoh hari; dia dah nampak vending machine dalam laluan ke ICU. Dah nyawa di hujung tanduk pun dia tahu keutamaan hidupnya 😅. Apa pun kami tumpang gembira apabila dia selamat pulang ke rumah.

Ada seorang Datuk juga Covid-19 kritikal, sebelum diintubate, kami aturkan panggilan video dengan Datin. Sebaik saja Datuk nampak wajah Datin, dia bertanya “Eh, Darling, kenapa rupa you macam ni?”

Rupanya Datin yang risaukan Datuk masuk wad, dah serupa Kak Limah dengan baju kelawar dan rambut serabai. Tak bergaya seperti biasa, hingga terkejut Datuk dibuatnya. Dah tercungap-cungap pun sempat lagi dia teliti rupa isteri tersayang. Lama Datuk bertarung nyawa sebelum akhirnya dipanggil menghadap Tuhan.

Itulah warna-warni pesakit kami. Apabila dalam hypoksis dan narkosis pelbagai ragam lagi perangainya. Semuanya kami simpan rapat-rapat menjadi kenangan seumur hidup.

Kami tahu mereka semua adalah insan terpenting dan sangat bernilai di sisi keluarga mereka. Kami faham.

Doakan mereka yang dijangkiti Covid-19 agar cepat sembuh. Doakan kami kuat semangat dan cukup resources untuk bantu mereka juga.

Setiap pesakit Covid-19 kritikal yang berjaya pulang ke rumah adalah kepuasan terbesar buat kami.