Malaysia Dateline

Pesakit di ICU sesak, KKM letak tanda pagar frontliner sudah penat

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini memberi pentunjuk bahawa mereka kini sudah penat dengan situasi pertambahan kes positif COVID-19 yang melanda negara sekarang.

Dengan meletakkan tanda pagar Frontliner sudah penat dalam satu kenyataan hari ini jelas memberi gambaran bahawa mereka sudah tidak menang tangan dalam menguruskan kes demi kes positif yang semakin bertambah.

Dengan pertambahan kes apatah lagi jumlah pesakit kritikal yang begitu ramai sehingga suasana di ICU sesak KKM juga memberi petunjuk bahawa rakyat Malaysia harus bertindak melakukan ‘lokcdown’ sendiri apabila turut meletakkan tanda pagar lockdown kendiri.

Dalam kenyataan disertakan #FrontlinerSudahPenat dan #Lockdownkendiri KKM memaklumkan kadar penggunaan katil ICU COVID-19 di Lembah Klang secara keseluruhannya telah mencecah 113%.

Manakala di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, angka ini telah mencecah 117%.

“Foto-foto berikut menunjukkan keadaan di HTAR yang penuh sesak dengan pesakit kritikal COVID-19,” maklum KKM melalui Facebooknya.

Menurut KKM, wad-wad biasa juga digunakan untuk merawat pesakit-pesakit ini kerana kadar penggunaan sudah melebihi 100%.

“Hospital-hospital KKM kini terpaksa menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu.

“Virus COVID-19 berada di dalam komuniti. Patuhilah SOP dan duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar,” jelas KKM

Justeru KKM merayu agar semua pihak membantu KKM menangani pandemik ini dengan “lockdown” kendiri untuk putuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Jangan tunggu lagi. Kita jaga kita,” tulis KKM.