Malaysia Dateline

Pesakit kanser usus terima sumbangan dari AMANAH Sarawak

Parti AMANAH Sarawak hari ini tampil menyampaikan sumbangan kepada seorang pesakit yang mengidap kanser usus yang telahpun menjalani pembedahan baru-baru ini.

Pengerusi Parti AMANAH Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi berkata, sumbangan tersebut adalah bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga pesakit Dayang Diah Awang Jol, 54 bagi menampung menjelaskan bayaran pembedahan.
Katanya, AMANAH Sarawak mengambil inisiatif untuk membantu Dayang Diah yang kekurangan kewangan bagi menjelaskan pembayaran pembedahan yang dilakukan sebelum ini.

“Kami berharap dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban Dayang Diah dan semoga beliau terus sihat selepas menjalani pembedahan baru-baru ini, ” ujar Mohamad Fidzuan ketika menyampaikan sumbangan berkenaan yang diwakili anak Dayang Diah iaitu Nasaruddin Morshidi di Pejabat AMANAH Sarawak di Kuching hari ini.

Sementara itu, Nasaruddin memberi tahu,bayaran pembedahan untuk ibunya tempoh hari ialah sebanyak RM7,468.

Jelasnya, beliau dah ahli keluarga telah memohon bantuan daripada Pejabat Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat namun sehingga kini tiada jawapan dari pihak tersebut.

“Malah saya ada cuba memohon kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tupong dan Samariang serta Ahli Parlimen Petrajaya tetapi turut tiada tindakan dan jawapan, ” katanya yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Sehubungan itu, beliau merakamkan berbanyak terimakasih kepada Parti AMANAH Sarawak yang telah tampil memberikan sumbangan itu walaupun hanya tiga hari menghantar surat permohonan.

Tambahnya, beliau dan ahli keluarga lain telah bertungkus-lumus mengumpul duit sebelum ini namun tidak mencukupi bagi menjelaskan pembayaran pembedahan.

“Dengan adanya sumbangan yang diterima ini akan dapat meringankan beban kami dari segi kewangan yang dihadapi kini,” jelas Nasaruddin.

.