Malaysia Dateline

Pesakit psikiatri juga dirai sempena Maulidur Rasul

Lain orang lain caranya bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul. Bagi Pertubuhan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) golongan marhaen dan mereka yang memerlukan menjadi keutamaan untuk disantuni.

Selain daripada menyumbangkan barang keperluan kepada keluarga yang memerlukan, DMDI cawangan Pulau Pinang turut menyumbangkan barang keperluan harian kepada pesakit psikiatri dan kesihatan mental melalui Klinik Mentari, Butterworth yang berada di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusinya, Abdullah Mohamed Nor ketika ditemui berkata, DMDI cawangan Pulau Pinang sentiasa peduli dengan pelbagai golongan masyarakat.

Sehubungan itu katanya, sumbangan dan bantuan disalurkan kepada pelbagai golongan masyarakat termasuklah bagi meraikan sambutan Maulid Rasul kali ini.

“Kami senantiasa prihatin dan membantu golongan yang memerlukan sebagai salah satu agenda yang dipraktikkan saban waktu.

“Sebagai pertubuhan yang memperjuangkan perkara yang bersangkutan dengan Melayu dan Islam kita turut mendekati pelbagai golongan masyarakat tanpa mengambil kira perbezaan ras dan fahaman ideologi.

“Yang pasti mereka yang mengharapkan dokongan samada dari segi kesihatan, pendidikan dan kesulitan hidup menjadi keutamaan yang tidak akan dipinggirkan dan diberi sokongan oleh DMDI cawangan Pulau Pinang termasuklah sempena Maulid Rasul kali ini,” tegas beliau.

Baca juga Orang gila ajak pilihanraya, takkan muslimat nak pi kempen selak kain, kata Pas kepada Umno

Baca juga “Mak pula kena tanggung dia”, bapa senang je keluar 40 hari ikut tabligh tapi nafkah terabai