Pesakit umur 40 hingga 50 tahun lebih ramai di ICU berbanding warga emas

Oleh NASUHA RAHMAN

Berdasarkan laporan yang diterima CPRC Kebangsaan dan CPRC Perkhidmatan Hospital, kumpulan umur lebih muda misalnya 40-an dan 50-an dilihat lebih banyak memenuhi Unit Rawatan rapi (ICU) berbanding warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi ini membuktikan vaksin telah membantu mengurangkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan golongan rentan dan warga emas.

“KKM ingin terus menyeru warga Malaysia terutamanya daripada kumpulan umur 18 hingga 59 tahun untuk mendaftar, mengikut temujanji yang ditetapkan, dan hadir mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya dalam kenyataan.

Daripada 11,985 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 65 kes (0.5 peratus) adalah daripada kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan), 45 kes (0.4 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), 178 kes (1.5 peratus) kategori 3 (radang paru-paru), 5,847 kes (48.7 peratus) kategori 2 (bergejala ringan), dan 5,850 kes (48.9 peratus) kategori 1 (tidak bergejala).

Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal mereka semasa baru didiagnosa COVID-19.

Ada di antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan mereka sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, hanya 2.4 peratus kes yang dilaporkan pada hari ini berada pada kategori 3 hingga 5 dan 97.6 peratus kes berada pada kategori 1 dan 2, iaitu pada mula didiagnosa.

Pesakit kategori 1 dan 2 disaran kuarantin di rumah

KKM telah mengambil pendekatan bagi kes kategori 1 dan 2 yang berisiko rendah dan mempunyai kediaman yang sesuai untuk di kuarantin/isolasi di rumah.

Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan hospital-hospital.

Kes-kes kategori 3 hingga 5 akan dimasukkan ke PKRC, wad-wad hospital, dan juga Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.