Malaysia Dateline

Pesalah memandu berkeadaan mabuk perlu dihukum lebih berat

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, hukuman yang lebih berat beserta lesen memandu digantung perlu dikenakan terhadap pemandu mabuk dan ia perlu segera dilaksanakan oleh pihak berwajib kerana pemabuk tidak boleh diberi muka lantaran mereka amat membahayakan orang lain.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga ada yang mengakibatkan kematian pengguna jalan raya yang lain.

Baru-baru ini juga media melaporkan seorang penunggang motorsikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang pemandunya disahkan positif alkohol.

“Isu pemanduan dengan pengaruh alkohol ini bukanlah isu baharu bahkan hampir saban masa dibangkitkan oleh banyak pihak. Dalam masa yang sama juga sudah ada peruntukan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pesalah laku pemandu kenderaan yang memandu dalam keadaan khayal dan mabuk.

“Hukuman berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menetapkan hukuman penjara mandatori antara tiga hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000. Ini bermakna hukuman minimum ialah penjara tiga tahun dan denda sekurang-kurangnya RM8,000 di samping lesen memandu digantung dan pesalah tidak layak memohon lesen memandu selama lima tahun,” kata Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka itu dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun ujarnya, peruntukan sedia ada ini jelas tidak mampu memberi kesedaran kepada pemandu untuk tidak memandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh alkohol.

Beliau juga berpendapat peruntukan undang-undang sedia ada ini juga perlu dikaji semula keberkesanannya kerana melihat kepada keadaan semasa di mana kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk ini semakin meningkat.

“Saya percaya pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi-agensi penguatkuasa jalan raya yang lain dalam membendung kesalahan memandu dalam keadaan mabuk ini.

“Hal ini dibuktikan dalam satu kenyataan Ketua Polis Negara yang membentangkan antara kejayaan PDRM pada tahun lepas adalah membanteras kesalahan pemanduan mabuk dan ia merupakan antara agenda utama PDRM untuk tahun ini juga.

“Saya melihat usaha membanteras kesalahan ini perlu dimainkan semua pihak. Bermula dari pihak kerajaan yang berkuasa mengubal undang-undang dan dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan sehinggalah kepada masyarakat umum yang berperanan untuk menyalurkan laporan kepada pihak berwajib.

“Saya menyokong penuh hasrat Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang mahu mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan kesalahan tersebut dan akan dibincangkan minggu hadapan. Ini bukti kerajaan sangat mendengar rungutan dan keluhan rakyat yang menyatakan kebimbangan atas isu ini,” tambah beliau.

Adun Durian Tunggal itu mengulangi pendiriannya bahawa beliau menyokong sepenuhnya tindakan untuk mengkaji semula keberkesanan undang-undang sedia ada bagi menghukum pesalah laku jalan raya yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk dengan dipertingkatkan hukuman kepada yang lebih berat di samping usaha-usaha kesedaran dilakukan.