Malaysia Dateline

Pesanan Menteri Kesihatan perlu jaga pemakanan, ubat-ubatan dan kebersihan sambut Aidilfitri

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga kementerian kesihatan dan seluruh umat Islam di Malaysia.

Beliau menasihati orang ramai untuk memastikan persekitaran kediaman berada dalam keadaan bersih disamping stok ubat-ubatan yang mencukupi sebelum pulang ke kampung.

“Saya ingin berpesan kepada mereka yang ingin pulang ke kampung, sebelum meninggalkan kediaman, pastikan keadaan persekitaran rumah bersih dan tidak mempunyai tempat takungan air yang boleh menjadi punca kepada pembiakan nyamuk Aedes.

“Jika ada ubat-ubatan yang ingin dibawa pulang bersama ke kampung, pastikan semak preskripsi agar ubat-ubatan yang dibawa adalah betul. Bawa ubat yang mencukupi dan asingkan ubat-ubatan ahli keluarga yang lain bagi mengelak kekeliruan.

“Apabila tiba pagi syawal dan bersiap sedia untuk beraya, pastikan minum air kosong yang secukupnya dan kurangkan pengambilan air berkarbonat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tentang hidangan berasaskan buah-buahan yang boleh disediakan untuk tetamu disamping mengawal pengambilan kalori sepanjang musim Aidilfitri.

Tonton di sini: