Pesara dakwa diperdaya suami selebriti berpangkat Datuk Seri, rugi RM109,500

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pesara mendakwa diperdaya oleh suami selebriti yang berpangkat Datuk Seri hingga mengalami kerugian berjumlah RM109,500 selepas melabur dalam ‘skim patuh syariah’ dikaitkan dengan individu berkenaan.

Mangsa yang merupakan bekas pekerja pelantar minyak itu mengakui mula diperkenalkan dengan skim pelaburan berkenaan oleh seorang kenalannya pada dua tahun lalu atau lebih tepatnya 29 Januari 2023.

Pesara terbabit kemudian bersetuju untuk melabur dalam pakej RM150,000 yang menjanjikan keuntungan sebanyak 18 peratus setahun di dalam tempoh tiga tahun selepas mendengar penerangan daripada ejen pemasaran skim.

Pada mulanya, mangsa tidak menafikan sememangnya menerima keuntungan awal seperti yang dijanjikan oleh individu terbabit iaitu sebanyak RM40,500 secara berperingkat.

Namun sayangnya pembayaran keuntungan itu dikatakan berhenti secara tiba-tiba bermula pada 29 Oktober tahun lalu sehingga menyebabkan mangsa merasa tertipu, lapor Kosmo.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, lelaki berusia 58 tahun itu kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

“Mangsa yang berminat bersetuju untuk mendengar penerangan daripada ejen pemasaran skim pelaburan tersebut secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting.

“Penerangan skim pelaburan itu didakwa diberikan oleh suami selebriti berpangkat Datuk Seri. Bagaimanapun pembayaran keuntungan itu dikatakan terhenti bermula pada 29 Oktober tahun lalu.

“Perkara ini menyebabkan mangsa berasa tertipu,” katanya yang memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada pukul 11.14 pagi, semalam memetik laporan Kosmo.

Baca juga: Kekal hubungan baik dengan bekas suami demi anak, Puteri Sarah ‘let go’ hal lama