Pesawah tunggu subsidi racun yang tak kunjung tiba

Pesawah mengadu masalah yang dihadapi kepada Dr Mujahid dan Yunus Jamhari.

Para pesawah di daerah Parit Buntar menghadapi masalah menguruskan sawah mereka ekoran subsidi racun yang masih belum diterima.

Aduan para pesawah ini dikemukakan kepada ahli parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof dan ahli dewan undangan negeri (Adun) Kuala Kurau Yunus Jamhari dalam satu pertemuan semalam.

Sehubungan itu Dr Mujahid menggesa Kementerian Asas Tani memberikan penjelasan mengapa subsidi racun masih belum diterima para petani terbabit.

Beliau yang ditemui dalam program sembang petang dengan pesawah di Parit Abu Samah, Kuala Kurau merasa kesal dengan masalah dihadapi para pesawah kerana sebelum ini benih subsidi turut lambat diagihkan kepada mereka.

“Kedudukan kewangan kerajaan mungkin faktor terjejasnya bantuan subsidi untuk pesawah,” ujarnya.

Masalah kewangan dihadapi kerajaan, ujar Dr Mujahid mungkin mendorong kementerian menarik balik atau menyesuaikan struktur subsidi yang jelas menjejaskan golongan petani dan pesawah.

“Seorang pesawah merayu agar subsidi racun disegerakan untuk mereka memulakan semburan. Harga racun juga agak mahal di pasaran antara RM60 hingga RM90 untuk 4 liter,” ujarnya.

Para pesawah, tambah Dr Mujahid tidak mampu menanggung kos yang tinggi dan tanpa subsidi pendapatan mereka akan terjejas teruk akibat hasil dan mutu padi yang rendah.

Sementara itu, Yunus berjanji menyalurkan masalah yang dihadapi para petani kepada kerajaan negeri dan pihak berwajib.

8.5
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS