Pesawat Lion Air terhempas, belum dipastikan rakyat Malaysia terbabit

Pesawat Lion Air terhempas, belum dipastikan rakyat Malaysia terbabit

Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan pesawat Lion Air terhempas di perairan Karawang, Jakarta Utara.

Ketua Bahagian Kerjasama dan Perhubungan Awam Perhubungan Udara Indonesia, Sindu Rahayu berkata pesawat yang membawa 181 penumpang dan tujuh anak kapal itu dilaporkan terhempas di koordinat 05 46.15 S – 107 07.16 E, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi tadi.

“Operasi mencari pesawat itu sedang dilakukan,” katanya.

Pesawat JT610, penerbangan ke Pangkal Pinang di Pulau Bangka Belitung, Indonesia itu dilaporkan terputus hubungan selepas 10 minit berlepas.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Pangkal Pinang jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).

Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata pihak kedutaan sedang berusaha mendapatkan maklumat lengkap berkenaan senarai penumpang pesawat itu.

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada rakyat Malaysia turut terbabit.

Operasi kesan pesawat terhempas di perairan Karawang

Pihak berkuasa Indonesia kini melakukan operasi mencari pesawat Lion Air yang dilaporkan terhempas di perairan Karawang, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi tadi.

Operasi itu melibatkan pasukan tentera dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (BASARNAS) di lokasi pesawat itu terhempas iaitu di koordinat 05 48.934 S 107 07.384 E, di perairan Karawang.

Direktur Jenderal Perhubungan Udara Pramintohadi Soekarno berkata pesawat itu membawa 181 penumpang yang terdiri 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak dan dua bayi, serta tujuh anak kapal.

Kapten pesawat itu, Bhavye Suneja dilaporkan menghubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta untuk berpatah balik, namun kemudiannya terputus hubungan dengan menara kawalan, katanya dalam satu kenyataan di sini.

“Crisis centre (pusat bantuan kecemasan) telah dibentuk di Terminal 1B Bandara Soekarno Hatta dan Bandara Depati Amir Pangkal Pinang untuk keluarga penumpang,” kata Pramintohadi.

Menurut laporan media Indonesia, anggota keluarga penumpang kini memenuhi Lapangan Terbang Amir Pangkal Pinang, bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung insiden itu.

Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata pihak kedutaan masih mendapatkan maklumat lengkap senarai nama dan warga negara penumpang pesawat berkenaan.- Bernama.