Malaysia Dateline

Hawk 108

Pesawat TUDM terhempas seorang maut, seorang cedera

Seorang anggota tentera terkorban manakala seorang lagi cedera dalam kejadian sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas ketika sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM malam ini.

Kejadian melibatkan pesawat Hawk MK108 bersama dua juruterbang itu berlaku pada jam 10.07 malam di dalam pangkalan udara milik TUDM tersebut.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussien selepas menerima panggilan daripada Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Beliau turut mengarahkan TUDM memberi laporan terperinci berkenaan insiden terbabit dengan segera serta menyiasat punca kejadian.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang meninggal dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini.

“Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan segera. Kementerian Pertahanan Malaysia telah diarah untuk salur apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat, katanya dalam kenyataan.