Malaysia Dateline

Peserta himpunan memuaskan, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah menganggarkan lebih 600 penyokong himpunan solidariti kedamaian di tapak Dataran Merdeka hari ini.

Namun berdasarkan pengamatan yang dilakukan oleh wartawan Malaysia Dateline, jumlahnya mungkin melebihi 800 peserta berdasarkan kepadatan serentak pada jam 8.30 pagi di hadapan bangun Sultan Abdul Samad.

Bagaimanapun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menganggarkan peserta terlibat sekitar 2000 orang.

Shaharudin ketika ditemui berkata perhimpunan berjalan dengan aman dan tiada sebarang isu yang tercetus.

“Semua peserta berarak dengan aman, mereka juga mengikut peraturan yang ditetapkan pihak polis. Keseluruhannya amat memuaskan.

“Nama pun perhimpunan damai, jadi berdamailah. Kesemuanya baik baik sahaja dan aman seperti slogan himpunan,” katanya.

Beliau berkata 32 pegawai polis dengan jumlah 237 anggota di tugaskan mengawal keadaan.

Pemantauan udara turut dilakukan polis di kawasan ini.

“Keadaan ketika ini terkawal dengan anggota polis dan polis trafik ditempatkan bagi mengawal lalu lintas,” katanya.

Ditanya tentang ketegangan timbul apabila salah seorang petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menegur peniaga yang berjualan, Shaharudin berkata ia merupakan tanggungjawab mereka menegur dan memastikan keadaan berjalan dengan terkawal.

“Ia diluar bidangkuasa kami. Ia kuasa pihak DBKL. Jadi tidak menjadi satu masalah. Sememangnya tidak dibenarkan berjual kerana ini untuk perhimpunan sahaja.

“Kanak-kanak juga sepatutnya tidak dibenarkan ikut tapi ia atas budi bicara pihak polis. Tidak mengapalah, ini perhimpunan damai,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan tentang kanak-kanak yang dilihat hadir menyertai perhimpunan tersebut.

Sementara itu, Persatuan Agama dari seluruh negara termasuk lima badan penasihat agama dan badan bukan kerajaan (ngo) di Malaysia berkumpul di Dataran Kemerdekaan bersama sama menyertai Perhimpunan Solidariti Kedamaian untuk memberi sokongan pada mangsa serangan Christchurch di New Zealand.

Pada permulaan perhimpunan itu, kira-kira 500 peserta berbaju T-shirt putih berkumpul di hadapan Kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur bermula jam 6.40 pagi ini sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka.

Perhimpunan ini melibatkan peserta membawa slogan “Solidarity 4 Peace” dan “Dunia Tanpa Pengganas” dan terdengar jeritan laungan slogan bersemangat “Hidup, hidup keamanan!”.