Atlet luncur angin Israel : Pemuda PAS Perak mahu DAP mohon maaf

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dewan Pemuda PAS Perak menyelar kenyataan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zheminn yang menimbulkan persoalan apakah parti yang katanya membawa agenda keadilan dan hak asasi manusia menyokong negara Israel yang secara rakus menyerang dan menindas Palestin dan rakyatnya.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata,  menafikan visa Israel suatu perkara yang sangat kecil jika dibanding dengan kejahatan yang di lakukan Israel terhadap Palestin. DAP sepatutnya perlu lebih peka dengan politik dan hubungan kemanusiaan di luar negara.

“Dewan Pemuda PAS Perak menyokong keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan dua peserta luncur angin dari Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia yang akan diadakan di Langkawi bermula 27 Disember ini.

“Tindakan itu sangat bertepatan memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Israel. Malahan Malaysia juga antara negara yang terkehadapan dalam menentang kezaliman yang dilakukan oleh regim zionis Israel.

“Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Perak mendesak Chong Zheminn menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kerana telah mengguris perasaan rakyat Malaysia yang sentiasa bersolidariti buat Palestin tanpa mengira bangsa dan agama.

“Dewan Pemuda PAS Perak turut merakamkan ucapan tahniah diatas ketegasan Kerajaan Malaysia dalam isu membabitkan Israel dan keamanan Palestin, “ujarnya dalam satu kenyataan pagi ini.

Semalam DAP Perak menyelar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadual menyertai satu kejohanan di Langkawi, hari ini.

Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin di dalam blognya dipetik berkata, Khairy menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

TAGS