Peserta RPS Kuala Betis tuntut ladang Risda gagal bayar dividen

Peserta RPS Kuala Betis tuntut ladang Risda gagal bayar dividen

Seramai 275 peserta Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, mengadakan demonstrasi aman bagi menuntut ladang sawit seluas 781.84 hektar diserah untuk diusahakan sendiri oleh mereka selepas Risda Plantation Sdn Bhd yang didakwa gagal membayar dividen sejak empat bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak tuntutan itu, Ajong Alang, 67, berkata ladang sawit itu dibangunkan menerusi projek Tanam Semula Kelompok (TSK) Orang Asli sejak 1989.

“Tanah ini dahulu diserahkan oleh Kerajaan Negeri kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebelum agensi berkenaan menyerahkannya kepada Risda Plantation Sdn Bhd untuk membangunkan ladang sawit dengan setiap peserta dijanjikan dividen RM550 sebulan.

“Bagaimanapun sejak empat bulan lepas pihak berkenaan gagal membayar dividen yang dijanjikan menyebabkan peserta kehilangan sumber utama pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata jika pihak berkenaan masih gagal untuk melunaskan dividen yang dijanjikan, peserta tidak teragak-agak untuk masuk ke ladang dan memotong sendiri buah untuk dijual bagi mendapatkan wang untuk meneruskan kehidupan.

Sementara itu, Penghulu Kampung Lambok, Ading Kerah, 84, berkata pada peringkat awal dahulu bayaran dividen dibuat dengan teratur namun tertunggak sejak empat bulan.

Ading mendakwa kerja-kerja di ladang berjalan seperti biasa namun bayaran tidak dibuat kepada peserta.

“Pihak berkenaan perlu turun padang untuk melihat sendiri kehidupan peserta yang kehilangan punca utama pendapatan sehingga bil elektrik pun mereka tidak mampu bayar,” katanya.

— BERNAMA