Peserta WEYC 2018 bersihkan tiga kawasan pantai di Johor

Peserta WEYC 2018  bersihkan tiga kawasan pantai di Johor

 

Kira-kira 200 orang murid dari empat buah sekolah di sekitar daerah Kota Tinggi dan Mersing menyertai Pertandingan WMAM Eco Youth Challenge (WEYC) 2018 telah menyatakan keprihatinan mereka terhadap hidupan laut menerusi aktiviti Pembersihan Pantai di jajaran pantai Wilayah Timur Johor.

Menurut Pengerusi Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM), En. Ho De Leong, aktiviti murni tersebut merupakan komponen utama Program Sampah Marin yang dipertandingkan dengan kerjasama strategik bersama the MareCet Research Organization (MareCet) di samping rakan penganjur utama iaitu Yayasan Coca-Cola, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

Penganjuran aktiviti tersebut telah menyuntik pendekatan serampang dua mata dengan membentuk kefahaman dan kesedaran dalam kalangan murid menerusi Sesi Taklimat bersama MareCet dan disusuli Aktiviti Pembersihan Pantai bersama SWM Environment untuk memberi pengalaman dan gambaran yang lebih jelas tentang situasi sebenar di kawasan pantai dan kesannya terhadap hidupan laut.

Penglibatan murid-murid dari SMK Tanjung Datuk, SMK Tan Sri Syed Jaafar Albar, SMK Mersing dan SMK Sri Mersing telah menyaksikan sebanyak 1420kg sampah dibersih dan dilupuskan dari tiga lokasi berbeza iaitu Pesisir Pantai Sungai Rengit, Pantai Teluk Mahkota dan Pantai Mersing sepanjang tiga hari berturut-turut aktiviti tersebut berlangsung.

Pihak WMAM bersama SWM Environment selaku syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Johor serta rakan penganjur amat berbesar hati atas kerjasama dan sokongan yang turut diberikan oleh pihak PBT Pengerang, Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan Majlis Daerah Mersing (MDM) dalam menjayakan usaha memelihara dan memulihara kawasan pantai di negeri Johor.

[P2] Peserta dari SMK Sri Mersing dan SMK Mersing mengasingkan sampah yang dibersihkan mengikut kategori sampah.

[P4] Peserta dari SMK Tan Sri Syed Jaafar Albar mengasingkan sampah yang dibersihkan di Pantai Teluk Mahkota.

Peserta dari SMK Tanjung Datuk membersihkan Pesisir Pantai Sungai Rengit di Pengerang.

[P5] Selain membentuk kesedaran tentang kebersihan marin, Aktiviti Pembersihan Pantai ini turut memupuk semangat kerjasama sepasukan.

1,412 total views, 6 views today