Malaysia Dateline

Pesta belon udara panas Pulau Pinang kembali Februari ini

Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang kembali menggamit kunjungan ramai dengan edisi kelimanya dijadualkan berlangsung pada 9 dan 10 Februari ini di Padang Polo, George Town.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan, Kebudayaan dan Kesenian negeri Yeoh Soon Hin berkata 15 belon udara panas antarabangsa dan tempatan akan ditampilkan sepanjang hari berkenaan, dari pukul 7.00 pagi hingga 9.00 malam.

“Orang ramai juga dapat menyertai aktiviti mesra keluarga, bengkel-bengkel kreatif dan pelbagai lagi acara yang akan diadakan,” katanya semasa berucap pada majis pelancaran “The Path” Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang di sini malam ini, yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Majlis malam ini menyaksikan keunikan pameran cahaya indah menghiasi ruang angkasa sekitar sini, di samping penampilan replika mini belon panas yang diperbuat dari kertas yang diwarnakan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, yang digantung indah untuk tatapan umum, sebagai ‘prelude’ kepada pesta berkenaan.

Sebanyak 400 replika mini belon panas itu digantung untuk dipamer di Butterworth Art Walk, di sini, manakala 700 lagi di Padang Kota Lama.