Pesta Padi Antarabangsa P. Pinang mampu jadi tarikan pelancong

Pesta Padi Antarabangsa P. Pinang mampu jadi tarikan pelancong

Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang kali kedua yang diadakan di Penanti mulai 16 hingga 18 Ogos mampu menjadi daya tarikan pelancong sehingga ke peringkat Kebangsaan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Jelasnya, pesta yang bertemakan ‘Padiku, Warisanku, Rezekiku’ anjuran Pusat Khidmat Dun Penanti dengan kerjasama Ahli Parlimen Permatang Pauh mempunyai beberapa keunikan yang amat menarik untuk diterokai.

“Dengan merasai pengalaman turun ke bendang, ia memberi suatu tarikan yang amat unik kepada pelancong dan para pengunjung.

“Pesta ini juga menarik kerana ia turut meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Adalah diharapan pesta padi sebegini akan dapat mewujukan sinergi yang terbaik bagi daerah Seberang Perai serta Pulau Pinang,” ujarnya.

Malah kata beliau, pesta seumpama ini boleh ditingkatkan lagi dengan usaha bagi memasukkan ia dalam kalendar pelancongan negara.

Dalam pada itu para pengunjung dan pelancong dapat menikmati pengalaman sebenar berada diatas bendang serta pendedahan mengenai perkara yang berkaitan dengan padi.

Selain itu antara beberapa aktiviti menarik yang turut disediakan ialah pertandingan menangkap ikan ditengah bendang, perlawanan bola sepak ditengah bendang, pameran replika haiwan yang diperbuat dari jerami padi, proses pembuatan arca padi, demonstrasi dodol beras, arca padi dan seumpamanya.