Malaysia Dateline

Pesta rebut kerusi di PRN Sabah

Pesta Demokrasi adalah sebuah nama lain untuk pilihan raya. Apa yang umum diketahui ia adalah pesta yang mengembirakan pengundi, saat penuh tawa dan bercanda kerana menantikan habuan. Taburan wang dan projek, politik wang, kenduri makanan dan minuman di semua daerah dan bahagian.

Namun ternyata pesta pilihan raya juga adalah suguhan janji-janji atau manifesto yang meminta kita memberikan sokongan untuk janji tersebut.

Dalam sebuah negara demokrasi, puncak momentumnya adalah adanya peluang memilih dan menentukan sebuah negeri atau negara yang diberikan penentu kepada rakyat tersebut. Mereka membuat pilihan yang dianggap terbaik mewakili rakyat melalui undian.

Namun adakah ini suatu fartamogana, suatu gambaran dari jauh yang apabila kita mendekatinya ia hilang di udara. Benarkan pesta demokrasi wujud adu idea, adu gagasan dan persaingan memberikan gagasan terbaik.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, ia lebih memaparkan pesta merebut kerusi. Bagi Perikatan Nasional (PN) media melaporkan Barisan Nasional (BN) mahu bertanding di 30 kerusi negeri, disusuli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 20 kerusi dan selebihnya parti-parti lokal Sabah.

Dalam hubungan ini, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang dipimpin oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan turut mengumumkan parti itu akan bertanding di 15 kerusi, selain masih berunding untuk mendapatkan tiga lagi kerusi.

Berdasarkan perkembangan, ini bermakna jumlah kerusi yang sudah diagih setakat ini ialah 65 daripada 73 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Dengan berpandukan perkiraan itu, hanya ada lapan kerusi lagi yang belum dinyatakan untuk diberikan kepada parti, namun secara tidak langsung, ia merujuk kepada dua lagi parti yang bekerjasama dengan PN iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Namun ada juga tekanan yang datangnya dari STAR yang tidak teragak-agak untuk keluar daripada PN sekiranya tidak mendapat sekurang-kurangnya 15 kerusi dalam PRN ke-16 ini.

Dr Jeffrey berkata, perkara itu mengambil kira kehendak rakyat yang mahu parti tempatan menerajui pentadbiran negeri.

“Kami yakin STAR boleh menang banyak kerusi dalam PRN kali ini dan kami bersedia untuk bertanding 15 hingga 18 kerusi jika diberi peluang.

“Tetapi, sekiranya STAR hanya diberi enam atau lapan kerusi, baik kami bertanding sendiri,” katanya. Harus diingati STAR mempunyai satu kerusi parlimen daripada Dr Jeffrey.

Ini berikutan sentimen lokal yang ada ketika ini di mana rakyat memandang sekiranya parti politik dari Semenanjung mendominasi politik Sabah ia adalah satu bentuk dominasi dengan tidak mengutamakan parti tempatan.

Bagi Dr Jeffery pembahagian kerusi perlu diagih secara adil dan sama rata bagi menghormati sentimen kenegerian Sabah.

“Rakyat juga mahu lihat kerusi Barisan Nasional (BN) kurang atau seimbang untuk beri penghormatan kepada parti tempatan,” ujarnya lagi.

Dalam keadaan sokongan Muhyiddin di Parlimen hanya 111-109, tuntutan STAR untuk diberi antara 15 hingga 18 kerusi dalam PRN Sabah adalah suatu perkara yang serius.

Boleh juga diandaikan sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi adakah STAR boleh keluar daripada PN? Ia boleh menjejaskan sokongan kepada Muhyiddin di Parlimen yang akan menjadi 110 kerusi.

Di samping itu, Parti Bersatu Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga masing-masing mempunyai satu kerusi Parlimen yang dimenangi dalam PRU14 lalu.

Pesta rebut kerusi ini juga terkesan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasarkan untuk menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, harapan itu berasaskan pertambahan kerusi DUN daripada 60 menjadi 73 kerusi bagi PRN kali ini selain faktor jumlah keanggotaan PKR di Sabah yang merupakan kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor.

Menurutnya, walaupun peratusan PKR bertanding pada PRN sangat kecil namun secara prinsipnya mereka mempertahankan kawasan yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu. “Kita akan melihat potensi dan peluang PKR di kerusi baharu kerana pertambahan kerusi itu.”

Maklumat terkini mendapati PKR, yang bertanding lapan kerusi Dun pada pilihan raya umum lalu akan bertanding 14 kerusi dalam pilihan raya negeri pada 26 Sept ini. Keanggotaan Keadilan Sabah telah mencecah lebih 170,000 orang, menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi dari segi keanggotaan parti selepas Selangor.

Pesta merebut kerusi lebih mengegarkan apabila Umno juga tidak terlepas masalah pengagihan kerusi khususnya yang menjadi laibiliti kepada partinya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendedahkan, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tiada dalam senarai calon yang akan bertanding dalam PRN Sabah.

“Saya tidak ada perbincangan mengenai itu (pulang ke Sungai Manila),” kata Bung Moktar.

Sebelum ini Umno Tuaran di bawah pimpinan Datuk Abdul Rahman Dahlan bertekad mahu Umno bertanding kembali di kerusi Sulaman namun ia berdepan dengan laluan sukar selepas parti itu bekerjasama dengan Bersatu membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Sehubungan dengan itu, Rahman menuntut jika kerusi itu tidak ditandingi Umno, pemimpin Umno Bahagian perlu diberikan kedudukan khusus dalam kerajaan. Sebelum ini Rahman menimbulkan kekecohan apabila membantah perlantikan Bung Mokhtar Radin sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno Sabah.

Sejauh manakah pesta merebut kerusi ini mengutamakan kemampuan intelektualiti calon. Tidak dinafikan akan terdapat tapisan daripada kepimpinan PN dan Warisan ke atas calon-calon yang dicadangkan itu.
Dalam hal ini pengurus kempen yang bertindak sebagai ‘dukun mantra’ memainkan peranan penting dalam menyusun atau memformat-kan pengwajahan calon-calon ini.

Persoalannya dalam pesta merebut kerusi ini berapa peratus kualiti calon dipertimbangkan dan di manakah rekayasa dan catatan-catatan kecerdasan mengurus negeri, adakah sekadar noktah ditepi bibir semata-mata.

Jika tidak cadangan calon politik itu akan hanya menjadi formaliti sahaja. Persaingan politik berlangsung bukan dalam bentuk persaingan keintekektualan, atau gagasan calon tetapi lebih cenderung kepada siapa yang berjaya merebut kerusi.

Tokoh-tokoh yang dihadirkan melalui ‘stunt politik’ memiliki pengawajahan yang tidak terbentuk melalui gagasannya tetapi melalui pemaparan poster di media sosial dan media utama lain, ceramah kosong yang diselang-seli dengan lawak jenaka yang membuat khalayak ketawa berderai-derai atau menjemput penyanyi terkenal dan perkara-perkara subjektif lainnya.

Oleh itu apa yang hadir di kebanyakan pesta merebut kerusi hanyalah pameran politik yang sekadar popular tetapi tidak memiliki kualiti sepatutnya

Apakah harapan rakyat yang mahu melihat calon yang bertanding itu mempunyai banyak pengalaman untuk menyelesaikan persoalan penduduk, rakyat dan negeri dan negara. Jika mereka dan kita tidak cerdas menilai, maka pesta merebut kerusi menjadi bencana lahirnya elit-elit politik amoral/tidak bermoral.

Rakyat harus bijak memilih calon supaya tidak membawa bala kepada Sabah kerana memilih wakil rakyat yang salah.
———————————-
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)