Pesta Songkran sudah lama diamalkan masyarakat keturunan Siam di Pengkalan Hulu, kata Patriot

Pesta Songkran sudah lama diamalkan masyarakat keturunan Siam di Pengkalan Hulu, kata Patriot
Pesta Songkran itu telah sekian lama diamalkan oleh masyarakat keturunan Siam di negara ini.-

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyindir seorang pemimpin Pemuda Pas yang menggambarkan Songkran, atau sambutan tahun baru Thai, sebagai acara yang dipandang rendah oleh orang Islam.

Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji berkata sambutan Pesta Air tersebut telah lama diamalkan namun ia telah ditegur Adun Pas tersebut seolah-olah pesta itu menggugat imannya.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas Batu Kawan, Nizar Ahmad Tajudin, mengenai penganjuran ‘Konsert Songkran’ di sebuah pusat beli-belah ‘pesta maksiat’ yang menyinggung orang Islam yang sedang menanti bulan Ramadan.

Walhal, pesta Songkran itu telah sekian lama diamalkan oleh masyarakat keturunan Siam di Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Selatan Thailand.

“Kami rasa hairan mengapa teguran ini dibuat sekarang. Saya percaya bukan sahaja masyarakat keturunan Siam menyambutnya, malah mungkin diamalkan sebilangan masyarakat di Kelantan dan Kedah.

“Pengkalan Hulu bersempadan dengan Thailand dan tidak hairan jika terdapat rakyat Malaysia berketurunan Siam bermaustatin disana.

“Adakah Adun Pas itu merasa tergugat keimanannya akibat pesta Songkran ini, yang dahulunya tidak pula menjadi masalah bagi rakyat disana?

“Sekiranya beliau merasa keimanannya tergugat oleh kerana pesta Songkran ini, maka saya nasihatkan belajarlah hidup bersama Masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pesta Songkran telah diamalkan bertahun-tahun dan sudah menjadi kebudayaan mereka.

“Jika seorang itu bergelar pemimpin yang dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka, dan tidak pula mempunyai sifat toleransi, saya cadang pemimpin-pemimpin sedemikian undur sajalah dari menjadi pemimpin,” ujarnya.