Pesuruhjaya Pas negeri tidak semestinya exco, kata Sallehen Mukhyi

Pesuruhjaya Pas negeri tidak semestinya exco, kata Sallehen Mukhyi

Pesuruhjaya Pas Selangor yang baharu, Sallehen Mukhyi menjelaskan, pemilihan calon bagi jawatan itu dibuat oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pas Pusat.

Beliau yang menggantikan Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, jawatan pesuruhjaya negeri tidak semestinya daripada exco negeri kerana ia bukan amalan parti itu, lapor Free Malaysia Today.

“(Ia) bukannya dinilai sama ada dia exco (negeri) atau tidak.

“Pemilihan mengikut kehendak presiden dan keputusan bersama dalam Pas Pusat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas Selangor malam tadi.

Beliau berkata, bekas pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali turut dilantik ke jawatan itu sebelum menjadi exco negeri.

“Begitu juga Dr Abd Rani Osman menjadi pesuruhjaya Pas Selangor, tetapi dia bukan exco dan Iskandar pun dilantik sebagai pesuruhjaya Pas Selangor secara kebetulan dia exco negeri itu.”

Minggu lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan, isu Iskandar digugurkan tidak timbul dan perubahan dibuat disebabkan isu politik di Selangor.

Katanya, Iskandar diminta menumpukan perhatian dalam pentadbiran Selangor dan peranannya selaku naib presiden untuk menjaga Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Iskandar yang merupakan exco perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar berkata, beliau mahu terus kekal dalam kerajaan Selangor bagi memastikan semua program dan inisiatif kerajaan negeri dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Sallehen berkata, kepimpinan parti melantik beliau sebagai pesuruhjaya Pas Selangor supaya Iskandar boleh menumpukan perhatian sebagai naib presiden parti itu untuk menjaga empat negeri.

“Pas negeri terpaksa kurangkan bebannya dan fokus ke peringkat lebih besar. Antara fokus negeri disasarkan Pas ialah Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Ini untuk memastikan Pas boleh hantar calon dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri itu dan memastikan Pas dalam organisasi kukuh dan kuat,” katanya sambil menambah Mohd Shafei Ngah dan Ahmad Dusuki Abd Rani juga digugurkan daripada jawatan timbalan pesuruhjaya Pas Selangor II dan III bagi membolehkan mereka memfokuskan kerja di peringkat Pas Pusat.

COMMENTS

Wordpress (0)