Malaysia Dateline

Pesuruhjaya Pas Pahang persoal layanan ‘double standard’ menteri dan rakyat biasa

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar, persoal layanan ‘double standard’ antara rakyat biasa dan Menteri yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

Menerusi muatnaik status Facebooknya hari ini, beliau berkata apabila wujud layanan berbeza terhadap kesalahan yang sama, ianya hanya akan mengundang rasa benci kepada kerajaan.

“Apabila Menteri dan rakyat melakukan kesalahan yang serupa tapi layanannya berbeza, akan mengundang kebencian rakyat pada kerajaan,” katanya.

Sehingga saat ini, ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali masih belum memberi penjelasan bahkan menafikan kekecohan yang timbul berhubung tindakan beliau yang tidak menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.

Ia berbeza dengan hukuman dikenakan terhadap seorang wanita warga emas yang dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.

Manakala seorang pemilik restoran di Kedah pula dihukum penjara lima bulan serta denda RM12,000 kerana kesalahan sama. Lelaki terbabit adalah kes yang mempunyai kaitan dengan kluster Sivagangga.