Petaling BC lengkapkan pasukan layak ke separuh akhir Purple League

Petaling BC lengkapkan pasukan layak ke separuh akhir Purple League

Petaling Badminton Club (Petaling BC) menempah slot terakhir, separuh akhir SS Purple League 2018/19 selepas menang 11-6 ke atas Tebrau City BC dalam perlawanan suku akhir di Arena of Stars, di sini.

Keputusan malam ini menyaksikan Petaling BC mengiringi juara bertahan, Puchong United BC, Ampang Jaya BC dan Kepong BC ke perlawanan separuh akhir yang akan berlangsung esok.

Petaling BC yang merupakan Johan 2016/17 akan bertemu Puchong United BC sementara Kepong BC akan berhadapan Ampang Jaya BC dalam persaingan untuk dua slot ke final.

Dalam perlawanan malam ini, pemain nombor 23 dunia, Jag O Jorgensen dari Denmark mendapatkan permulaan yang baik buat Petaling BC dengan kemenangan 3-1 (9-11, 11-6, 11-5, 11-6) ke atas pemain Thailand Adulrach Namkul dalam perlawanan perseorangan lelaki.

Momentum kemenangan Petaling BC berterusan selepas Yip Pui Yin dari Hong Kong menumpaskan Xu Wei dari China 3-1 (11-10, 11-8, 6-11, 11-4) dalam acara perseorangan wanita menjadikan kedudukan 6-2 tetapi Tebrau City BC mengurangkan jurang kepada 5-8 menerusi Peeranat Boontun-Boonsak Ponsana dalam acara beregu lelaki.

Peeranat-Boonsak berhempas pulas untuk menang 3-2 (11-9, 10-11, 11-9, 6-11, 11-10) ke atas gandingan Petaling BC, Man Wei Chong-Shia Chun Kang.

Acara keempat menyaksikan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei menang selesa 3-1 (11-7, 11-7, 5-11, 11- 6) ke atas Tan Jinn Hwa-Tan Koong Le dalam beregu campuran untuk menyumbangkan mata penting kepada Petaling BC selain daripada memastikan slot ke separuh akhir.

Terdahulu, Kepong BC mara ke separuh akhir selepas menundukkan Serdang BC 10-4 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

— BERNAMA