Petaling, Hulu Langat, paling ramai terima bantuan Selangor Bangkit RM1,000

Oleh KIM SYAZIE

Setakat 4 Januari 2022, sebanyak 8,219 keluarga telah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) melibatkan peruntukan sebanyak RM8.239 juta.

Menerusi kemaskini Facebook Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kerajaan negeri akan memulakan proses penyerahan sumbangan rumah ke rumah bagi memudahkan rakyat menerima bantuan.

Untuk rekod, kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk ikhtiar Selangor Bangkit susulan banjir teruk yang melanda negeri itu.

Peruntukan itu termasuk bantuan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir; RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir; bantuan pembersihan kawasan perumahan serta pemulihan infrastruktur yang mengalami kerosakan serta bantuan kesihatan.

Menerusi Infografik yang dikongsikan di Facebook Amirudin hari ini, Petaling mencatatkan jumlah penerima bantuan paling ramai dengan sebanyak 2,649 penerima yang mendapat RM1,000 setiap keluarga.

Kerajaan memperuntukkan keseluruhan RM2.649 juta bagi penerima di daerah tersebut.

Hulu Langat pula mencatatkan 1,808 penerima bantuan berjumlah RM1,000 dan terdapat dua keluarga yang kehilangan ahli keluarga mereka akibat banjir, bakal menerima RM10,000 setiap keluarga.

Kerajaan memperuntukkan keseluruhan RM1.828 juta bagi penerima di daerah itu.

Sementara itu, di Klang merekodkan 1,345 penerima dengan keseluruhan bantuan berjumlah RM1.345 juta; Kuala Selangor (835 penerima, keseluruhan RM835,000); dan Kuala Langat (705 penerima, keseluruhan RM705,000).

Diikuti dengan Sepang (514 penerima, keseluruhan RM514,000); Gombak (298 penerima, keseluruhan RM298,000); Sabak Bernam (35 penerima, keseluruhan RM35,000); dan akhir sekali adalah Hulu Selangor (30 penerima, keseluruhan bantuan sebanyak RM30,000).