Malaysia Dateline

Petaling Jaya dahului senarai 18 daerah kes tertinggi Covid-19

Petaling Jaya di Selangor muncul sebagai kawasan yang mempunyai jumlah kes Covid-19 tertinggi di negara ini dengan 96 kes setakat jam 12 tengah hari semalam.

Senarai 18 wilayah dengan jangkitan wabak berbahaya itu diikuti Lembah Pantai di Wilayah Persekutan yang bersebelahan Petaling Jaya sebanyak 90 kes.

Taburan kes bersumberkan Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CRPC) itu dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tangga ketiga kes tertinggi jangkitan Covid-19 juga masih di Selangor iaitu di Hulu Langat dengan 75 kes.

Seterusnya, diikuti Johor Bahru (52), Seremban (42) dan Titiwangsa 41 kes.

Manakala sebanyak 12 kawasan lagi membabitkan sembilan di Semenanjung dan tiga di Sabah dan Sarawak yang mencatatkan angka melebihi 20 kes.

Kawasan tersebut adalah Gombak dengan 38 kes, Pulau Pinang (34), Kota Bharu (29), Kluang (26), Kepong (24), Klang (23), Batu Pahat (23), Kuala Muda (23) dan Kinta (22).

Bagi Sabah dan Sarawak, sebanyak tiga daerah mempunyai lebih 20 kes iaitu Tawau (37), Lahad Datu (32) dan Kuching 30 kes.