Malaysia Dateline

Petanda ektrimisme agama dan kaum yang telah lama wujud

 

Pembunuhan kejam beramai-ramai 50 orang Islam di dalam Masjid di Christchurch New Zealand menggemparkan seluruh dunia.

Tidak dapat di nafikan lagi ia adalah kekejaman di luar dugaan yang di lakukan semasa orang sedang beribadat.

Walaupun kita sedih bercampur marah, apakah pengajaran serta iktibar yang harus kita ambil dari peristiwa tersebut supaya ianya tidak berlaku di Malaysia ?

Adakah insiden sebegitu boleh berlaku di Malaysia ? Adakah apa-apa petanda persamaan di antara situasi di New Zealand dan di Malaysia ?

Penembak yang telah membunuh 50 orang di dua Masjid New Zealand berasal dari Australia .

Dari pengalaman dan pengetahuan saya semasa di Australia, rakyat Australia adalah mudah mesra dan terbuka minda mereka. Tertuduh, Brenton Tarrant, yang di kenali rakyat biasa tanpa rekod jenayah.

Apakah yang telah mendorong Brenton Tarrant menjadi dan bertindak begitu ganas dan membunuh 50 orang tanpa perasaan peri kemanusiaan ?

Apa yang jelas adalah pengunaan media sosial serta facebook oleh pembunuh untuk merakam dan menyiarkan secara terus menerus tindakan menembak mangsa mangsa di dalam Masjid amat berkesan.

Apa yang mengejutkan lagi adalah betapa ramainya peminat yang berkongsi rakaman tersebut dengan menyokong pembunuhan tersebut.

Yang menghairankan kita lagi adalah bagaimana susah dan lambat facebook dan pihak berkuasa media berkenaan lain untuk memadamkan rakaman-rakaman tersebut.

Apa jua, peranan media sosial di dalam perancangan dan perlaksanaan pembunuhan ganas Brenton Tarrant adalah elemen utama yang mempengaruhi tindakan dan juga membuka pendedahan pengaruh beliau yang luas ke seluruh dunia.

Bagaimana pula senario tersebut jika dilihat dalam konteks isu kontroversi perkauman dan keagamaan di Malaysia mutakhir ini ?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu serta tuduhan halal darah, khafir harbi, wajib di hapuskan dan ungkapan patut di tembak di lafaskan dan di sebarkan secara meluas melalui media sosial.

Mereka yang membuat kenyataan ini terdiri dari para agamawan, Mufti Negeri dan tokoh politik Negara yang boleh mempengaruhi pandangan rakyat jelata dan membahayakan suasana harmoni agama serta kaum rakyat Malaysia.

Malaysia agak bernasib baik sehingga kini tiada keadaan tidak di ingini berlaku.

Perbuatan mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperi tersebut di atas merupakan perbuatan sangat tidak bertanggung jawab oleh mereka-mereka yang memegang kedudukan dan berpengaruh di dalam masyarakat. Tindakan yang tegas bagi menghalang kenyataan sedemikian patut di ambil.

Gelaran pendatang kepada sebahagian rakyat Malaysia ada persamaan dengan gelaran “invaders” atau penceroboh yang di gunakan oleh penembak New Zealand ke atas orang Islam.

Penggunaan media sosial untuk membakar kebencian terhadap kaum dan agama lain juga ada persamaan dengan cara taktik penembak di New Zealand.

Kegunaan “ancaman” perkauaman dan keagamaan bolih menimbulkan “kemarahan”, dan kemarahan untuk membakar “kebencian” adalah cara taktik sama yang ujud di Malaysia dan juga di peristiwa pembunuhan di New Zealand.

“Kemarahan” akhirnya mencetus “keganasan” seperti di New Zealand

Ironis besarnya apabila ugutan perkauman dan keagamaan di kenakan keatas orang Islam yang merupakan minoriti penduduk New Zealand, Perancis dan Amerika Syarikat, ada ahli politik tertentu pembangkang Malaysia begitu marah perbuatan tersebut.

Dalam masa yang sama mereka secara berterusan mengecam dan membuat tuduhan melulu perkauman dan sentimen keagamaan keatas kaum serta agama minoriti di Malaysia.

Inilah senario merbahaya di Negara Malaysia hari ini. Menakutkan rakyat dengan isu Agama dan bangsa untuk menimbulkan kemarahan bagi tujuan mendapat kuasa adalah keadaan jijik kita hari ini.

Kalau situasi dan serangan perkauman dan keagamaan melalui media sosial di Malaysia tidak di bendung, kita hanya menunggu masa sebelum tragedi melanda negara.

Dengan cara media sosial digunakan dalam usha menyebar ugutan serta penghinaan keagamaan dan perkauman di Uropah, Amerika dan terkini di New Zealand, sudah hampir pasti tragedi yang sama hanya menunggu masa untuk berlaku di Malaysia jika sesuatu tidak dilakukan.

Dengan kenyataan halal darah, kafir harbi, pendatang dan wajib di hapuskan, telah lama bergema kedengaran disebar melalui media sosial olih personaliti berpengaruh negara, suasana toksik beracun sudah subur untuk mencetuskan pertembungan serius di antara kaum dan agama di Malaysia.

Pada petang Isnin baru baru ini, usul tergempar Parlimen Malaysia telah sebulat suara mengecam pembunuhan kejam di New Zealand yang berlaku tampa petanda awal atau amaran .

Jangan ahli Parlimen kita hanya mengecam pihak lain dalam isu ektrimis perkauman dan keagamaan kalau kita sendiri di Malaysia turut bersalah melakukan yang sama secara berterusan.

Jika suatu hari peristiwa yang sama dahsyatnya berlaku di Malaysia, boleh kah Parlimen menyatakan ianya berlaku “tanpa petanda dan amaran” ?

* Penulis adalah  Senator Dewan Negara