Malaysia Dateline

Petani di Bruit hilang pendapatan akibat ban pecah

Petani di Kampung Bruit, Daro berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk membaiki ban air yang pecah sejak dua tahun lalu.

Ia sekali gus telah menjejaskan pendapatan lebih 100 petani di kampung terbabit yang hanya bergantung kepada kerja menanam, menuai dan memproses padi.

Menurut salah seorang penduduk, Iskandar Jol (gambar), ini merupakan tahun kedua sebahagian besar petani di Kampung Bruit tidak dapat menanam padi akibat ban air yang pecah.

Katanya, air masin telah melimpah masuk ke kawasan tanaman padi dan menyebabkan tanah tidak sesuai untuk bertanam.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak berwajib, malah tindakan membaik pulih dan membina semula ban di lokasi baru telah juga dilakukan tetapi malangnya kualiti kerja yang tidak memuaskan menyebabkan ban ini pecah semula.

“Bagi petani di Kampung Bruit, tanaman padi ini ialah sumber bekalan beras mereka untuk setahun selain jika ada lebih, ia akan dapat dijual.

“Justeru, apabila tidak dapat bertanam padi, mereka terpaksa menanggung kos yang boleh dielakkan untuk membeli beras luar,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Bruit, semalam.

Menurut Iskandar, beras yang ditanam di Kampung Bruit adalah yang berkualiti tinggi, sedap dan dapat membangkitkan selera sekiranya dibandingkan beras yang dibeli atas kemampuan masing-masing.

“Kami para petani tidak dapat menanam padi sejak tahun lepas apabila ban pecah. Air laut masuk ke tapak penanaman padi dan menyebabkan ia tidak sesuai untuk menanam padi.

“Dengan keadaan yang dialami ini, adalah diharapkan agar pihak kerajaan dapat memberi bantuan beras bagi menampung keperluan harian.

“Kami turut berharap agar ban yang pecah itu dapat dibaiki secepat mungkin,” jelasnya.

Ban air di Kampung Bruit ini telah dibina pada akhir 1980-an, namun tanpa pemantauan dan baik pulih selama ini telah memberikan kesan kepada petani kerana sebahagian binaan tersebut rosak dan yang terkini akibatnya semakin memburuk.

Bukan sahaja di Kampung Bruit yang terkesan, malah petani di Kampung Penibong, Betanak, Salah Kechil turut berdepan masalah berkenaan sekian lama.

Hal ini merupakan kerugian yang besar kepada negara khususnya kepada petani itu sendiri yang kehilangan punca pendapatan. Tiada tindakan proaktif dan bantuan yang menyeluruh daripada pihak bertanggungjawab mencerminkan ketidak upayaan mereka mengambil berat masalah rakyat.