Petani, nelayan, penternak perlu berani ambil risiko untuk jadi usahawan

Petani, nelayan, penternak perlu berani ambil risiko untuk jadi usahawan

Malaysia perlu membentuk usahawan moden dan kompetitif dalam sektor pertanian yang mampu mempelbagaikan hasil pengeluaran mereka, menghasilkan produk bernilai tinggi dan meningkatkan pendapatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata bagi tujuan itu para petani, nelayan dan penternak tempatan perlu berusaha mengubah minda, menjadi lebih terbuka dan sanggup menerima pembaharuan.

“Mereka juga perlu berani mengambil risiko dan mencuba teknik-teknik terbaru yang berinovasi dalam usaha memaksimakan keuntungan, meminimakan kerja, dan meningkatkan perniagaan,” katanya dalam ucapan beliau di majlis perasmian BioUsahawan 2019, yang dianjurkan bersama pihak kementerian dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Sim Tze Tzin.

BioUsahawan 2019 yang bermula esok, dilihat menjadi platform strategik bagi memajukan keseluruhan sektor pertanian Malaysia kearah menjadi lebih moden, mampan dan kompetitif.

Salahuddin berkata aspek perkongsian juga penting bagi kejayaan seseorang usahawan kerana beliau memerlukan bantuan serta latihan dalam menjalankan perniagaan termasuk mencipta model perniagaan, menggunapakai teknik-teknik moden dan membawa hasil mereka ke pasaran.

“Kita harap petani kita, nelayan dan penternak, sedar mengenai potensi besar yang mereka miliki. Kita percaya mereka dapat membaiki pendapatan dan juga kehidupan mereka menerusi perniagaan,” katanya.

Acara BioUsahawan menyediakan peluang buat para usahawan berkenaan dari segi pembiayaan, perluasan perniagaan, akses pasaran tempatan dan antarabangsa, kolaborasi strategik, pameras teknologi, pengenalan jenama, dan pengkomersilan produk.

“Berbekalkan ketajaman perniagaan dan kemahiran keusahawanan; para petani, nelayan dan penternak tempatan boleh menjadi pengusaha berorientasikan pasaran, bukan sahaja untuk membuat keuntungan berdasarkan permintaan, tetapi juga menyediakan bekalan makanan, tenaga dan bahan-bahan yang mencukupi kepada rakyat,” kata Salahuddin.

Acara hari ini juga menyaksikan pelancaran produk oleh enam syarikat berstatus BioNexus, pertukaran dokumen dan pelancaran model Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi 2.0)