
Petani Tanjung Piai diseru bersama kerajaan
Golongan petani di Parlimen Tanjung Piai diseru untuk terus bersama dengan kerajaan sekali gus bijak merebut peluang yang telah disediakan.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia Datuk Mazlan Aliman berkata, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kukup dan Pekan Nanas merupakan kawasan pertanian yang mampu dibangunkan dalam skala yang besar pada masa akan datang.
Justeru katanya,golongan petani di Parlimen Tanjung Piai haruslah bersama-sama dengan kerajaan dalam menjayakan perancangan untuk menjadikan kawasan ini sebagai Agro Perladangan di negara ini.
“Kita kini dalam perancangan untuk menjadikan kawasan di Kukup dan Pekan Nanas sebagai sebuah tempat Agro Perladangan sekali gus mampu memberi sumber ekonomi yang tinggi kepada penduduk di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Benih Kelapa Pandan kepada penduduk di Kampung Chokoh, Serkat Kukup di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota Muhammad Said Junit.

Lut Adam
Menyentuh bantuan benih kelapa pandan, Mazlan menambah ia akan dapat membantu penduduk dalam mempelbagaikan sumber pendapatan.
“Alhamdulillah… semoga bantuan benih yang diterima penduduk akan berupaya membuka peluang untuk mereka menjadikan penaman kelapa pandan sebagai alternatif kepada sumber pendapatan yang pelbagai nanti,” ujarnya.
Sementara itu, penerima Lut Adam, 40 merakamkan terimakasih kepada pihak kerajaan yang sentiasa membantu golongan petani dan nelayan di kampung berkenaan.
Beliau yang juga merupakan seorang nelayan berkata, penanaman kelapa pandan adalah antara pekerjaan yang dilakukan bagi menambah pendapatan keluarga.
“Secara jujurnya saya dan rakan-rakan petani dan nelayan di Kampung Chokoh akan tetap menyokong kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu ini,” kata Lut.
Pada PRK Tanjung Piai Sabtu ini seramai enam calon terdiri daripada Bersatu -Pakatan Harapan yang diwakili Karmaine Sardin bakal berentap dengan calon BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas.
PRK diadakan berikutan kematian Dr Mad Farid Mad Rafik yang meninggal dunia pada 21 September lalu kerana serangan jantung.