Malaysia Dateline

Petisyen desak Azmin letak jawatan capai sasaran 200,000 tandatangan

Sebanyak 200,000 tandatangan warganet yang dimulakan oleh pengguna maya dengan nama Kerajaan Gagal mendesak Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan berjaya dikumpulkan kira-kira jam 9.15 malam tadi.

Petisyen dalam talian dengan tanda pagar #AzminLetakJawatan itu dimulakan 4 Jun lalu di laman www.change.org dengan sasaran untuk meraih 200,000 tandatangan.

“Hanya satu sebab: gagal berfungsi sebagai menteri kanan yang diharapkan. Titik,” kata petisyen itu.

Azmin yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mendapat kecaman orang ramai susulan dakwaan terdapat kebenaran operasi perkhidmatan tidak perlu semasa pelaksanaan ‘total lockdown’.

Setakat 3 Jun lalu, sebanyak 128,150 syarikat berdaftar dalam portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan penuh pergerakan.

Azmin dilaporkan berkata, kelulusan itu membabitkan kira-kira 1.57 juta pekerja daripada jumlah keseluruhan 10.2 juta yang berdaftar dalam sistem tersebut.