Malaysia Dateline

Petisyen desak kerajaan kekalkan Speaker Dewan Rakyat

Satu petisyen yang menggesa agar kerajaan mengekalkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dilancarkan susulan usul untuk melucutkan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu pada Sidang Parlimen 13 Julai nanti.

Petisyen berkenaan dilancarkan di laman change.org yang dimuat naik oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.

Dalam tempoh 24 jam, bantahan berkenaan berjaya memperoleh lebih 5,700 tandatangan daripada jumlah sasaran sebanyak 7,500 sokongan.

Menerusi desakan tersebut, Bersih 2.0 dengan tegas menolak usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalannya, Nga Kor Ming pada hari pertama sidang Parlimen.

Petisyen itu juga mendakwa, seorang lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon yang merupakan salah seorang ahli Parlimen di kem Muhyiddin dilihat tidak pula terkesan dengan usul tersebut.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan ahli Parlimen dan telah meletak jawatan daripada parti politik sejak pelantikannya bermula pada 2018. Beliau telah mentransformasikan jawatannya dengan saksama dan benar-benar menghargai semangat kepelbagaian parti.

“Kami menggesa semua ahli Parlimen untuk menyokong Mohamad Ariff untuk meneruskan reformasi yang sedang dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau.

“Antaranya, pembentukan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen rentas parti bagi meneliti polisi dan perbelanjaan kementerian tertentu.

“Ini telah memberikan peluang kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memainkan peranan yang lebih bermakna dalam pembentukan polisi dan meneliti fungsi kerajaan,” kata petisyen berkenaan.

Petisyen berkenaan juga menyenaraikan beberapa kejayaan reformasi Parlimen di bawah Mohamad Ariff termasuk berjaya menjadikan Parlimen sebagai institusi mesra rakyat dengan penganjuran majlis yang berkolaborasi dengan organisasi tempatan dan antarabangsa.

“Kami menggesa ahli-ahli Parlimen mendengar keluhan rakyat untuk mempunyai parlimen yang berfungsi dan berdaya saing, menghormati mandat mereka sebagai suara rakyat dan bukan sekadar nombor dalam 112, dan menolak usul oleh Muhyiddin untuk menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat, pada 13 Julai nanti,” kata petisyen itu lagi.